14 Februari 1993: Kapten skuad Malaysia, Ahmad Yusof (kanan) menjulang Piala Pestabola Merdeka. Malaysia mengalahkan Korea Selatan 3-1 dalam masa tambahan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
14 Februari 1993: Kapten skuad Malaysia, Ahmad Yusof (kanan) menjulang Piala Pestabola Merdeka. Malaysia mengalahkan Korea Selatan 3-1 dalam masa tambahan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim

TANGGAL 31 Ogos antara hari paling ditunggu-tunggu seluruh rakyat Malaysia apabila menyambut Hari Kebangsaan, selain pada tarikh itu juga berlangsung Pestabola Merdeka yang dinantikan peminat bola sepak tanah air suatu masa dulu.

Keterujaan penyokong skuad Harimau Malaya boleh disaksikan apabila stadium sentiasa penuh dan bersesak-sesak sejak kejohanan bola sepak paling tua di Asia itu dianjurkan bermula dari 1957 sehingga 1988 setiap tahun.

Malah, pentas paling elit di Asia (pada masa itu) sentiasa menjadi persaingan paling ditunggu-tunggu hingga ada yang melabelkannya umpama pertandingan Piala Dunia.

Mana tidaknya, Pestabola Merdeka sering kali berjaya menghimpunkan pasukan hebat dunia seperti Czechoslavakia, Republik Soviet (kini Russia), Bulgaria, Maghribi, Algeria, Jepun, Korea Selatan, Ghana, Senegal, Iran, Arab Saudi, China, pasukan muda Argentina dan semua pasukan Asia Tenggara.

Bagaimanapun, menjelang 1988 kemeriahan kejohanan itu semakin hilang apabila banyak pasukan Asia memberi lebih tumpuan kepada kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

31 Januari 1981: Chow Chee Keong meluru keluar bagi menahan bola tendangan penyerang Maghribi daripada membolosi palang gol di Pestabola Merdeka 1981 di Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
31 Januari 1981: Chow Chee Keong meluru keluar bagi menahan bola tendangan penyerang Maghribi daripada membolosi palang gol di Pestabola Merdeka 1981 di Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP

Sejak itu, saingan Pestabola Merdeka hanya sembilan kali saja dijalankan dengan kali terakhir pada 2013 lalu di mana Malaysia yang dianggotai skuad bawah 23 (B-23) berjaya menundukkan skuad B-23 Myanmar menerusi keputusan 2-0.

Ia kejuaraan ke-10 buat skuad kebangsaan sejak 1957 di samping merekodkan tujuh kali bergelar naib juara.

Bekas pemain bola sepak negara, Bakri Ibni menganggap penganjuran semula Pestabola Merdeka perlu diusahakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak kerajaan dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.

Katanya, kejohanan berkenaan patut dianjurkan semula terutama pada bulan kebangsaan ini kerana ia satu platform pemain tempatan dan penyokong melahirkan rasa cinta kepada negara.

BAKRI. FOTO Arkib NSTP
BAKRI. FOTO Arkib NSTP

"Kita pernah lalui zaman itu dan kita tahu betapa meriah dan terujanya rakyat Malaysia apabila tibanya 31 Ogos setiap tahun. Bukan saja sambut Hari Merdeka, tetapi rakyat juga ternanti-nanti acara Pestabola Merdeka, dah seperti nak main Piala Dunia.

"Saya ingat lagi, tiket perlawanan di Stadium Merdeka sentiasa habis dan stadium penuh sesak dengan penyokong. Bukan saja orang Melayu yang nak tengok, tapi orang Cina dan India juga ramai yang turun ke stadium. Ditambah pula, pasukan kita ada skuad campuran semua kaum.

"Jadi pemain pun bersemangat dan berkobar-kobar nak pastikan Malaysia menang kejohanan itu dan hadiahkan sempena Hari Merdeka. Habuan atau benda-benda lain kami tak fikir, yang kami fikir hanya nak menang saja," katanya.

Berikutan itu, katanya, Pestabola Merdeka perlu dihidupkan semula pada bulan kemerdekaan ini.

8 Februari 1991: Penyerang pasukan kebangsaan, Subadron Aziz berjaya mengelakkan diri daripada halangan pemain Admira Wackers dalam Pestabola Merdeka. Malaysia menang 3-2 tetapi gagal ke perlawanan separuh akhir. FOTO Arkib NSTP
8 Februari 1991: Penyerang pasukan kebangsaan, Subadron Aziz berjaya mengelakkan diri daripada halangan pemain Admira Wackers dalam Pestabola Merdeka. Malaysia menang 3-2 tetapi gagal ke perlawanan separuh akhir. FOTO Arkib NSTP

"Jika diadakan kembali dalam bulan kemerdekaan, kami selaku pemain veteran dapat mengimbau kembali kenangan lama ketika mewakili skuad negara," katanya yang pernah mengecapi saat bergelar juara pada 1979 apabila Malaysia dan Korea Selatan dinobatkan juara bersama selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Selain itu, beliau juga pernah merasai detik kekecewaan pada edisi 1980 apabila skuad negara tumbang 1-2 di tangan Maghribi di final.

"Saya ada beberapa kali main (Pestabola Merdeka) tapi saat paling tak boleh lupa, bila kalah kepada Maghribi. Kami satu pasukan kecewa sangat tidak dapat hadiahkan piala di hari bersejarah kita," katanya.

14 Februari 1993: Azman Adnan membantu negara mengatasi Korea Selatan pada pertandingan akhir Pestabola Merdeka ke-34. Malaysia menang 3-1 selepas masa tambahan. Azman menjaringkan dua gol dalam masa tambahan. FOTO Arkib NSTP
14 Februari 1993: Azman Adnan membantu negara mengatasi Korea Selatan pada pertandingan akhir Pestabola Merdeka ke-34. Malaysia menang 3-1 selepas masa tambahan. Azman menjaringkan dua gol dalam masa tambahan. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, salah satu sebab mengapa saingan Pestabola Merdeka tidak mendapat sambutan kerana kelemahan skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

"Sebelum nak kembalikan semula (Pestabola Merdeka), pasukan kita sendiri kena kuat. Dulu ramai yang nak datang main bukan Malaysia kuat dan mereka fikir inilah peluang untuk asah kekuatan dengan pasukan kita.

"Bukan semata-mata pasal dah ada Piala Asia atau Piala Dunia sebab Pestabola Merdeka tak ada sambutan, tapi sebab skuad kita lemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 7:55 AM