Karim Pin (kanan) diasak pemain pilihan Selebriti dan Media
Karim Pin (kanan) diasak pemain pilihan Selebriti dan Media
Perlawanan Amal sempena Karnival Uniti Pestabola Merdeka Stadium Kuala Lumpur. Foto Aswadi Alias.
Perlawanan Amal sempena Karnival Uniti Pestabola Merdeka Stadium Kuala Lumpur. Foto Aswadi Alias.

Kuala Lumpur: 'Bola Sepak Menyatukan Kita' demikian slogan yang dilaungkan barisan pemain pada Perlawanan Amal sempena Karnival Uniti Pestabola Merdeka di Stadium Bola Sepak Cheras.

Aksi Sabtu lalu itu, membabitkan dua pasukan iaitu Pasukan Legenda yang diwakili pemain veteran dan bekas pemain kebangsaan menentang pasukan pilihan gabungan selebriti dan wakil media.

Barisan pemain Legenda diketuai Reduan Abdullah, Mubin Mokhtar, K Gunalan, Ismail Ibrahim, Ramli Junit, Mohd Nor Yaakub, Karim Pin, Nizaruddin Yusof, Kamarulzaman Yusof, Shahrin Majid, Malek Rahman, Shahril Arshat, Hardi Jaafar, Asri Ninggal, Azrul Amri Burhan, Assrof Hanafiah dan penjaga gol, Azizon Abdul Kadir.

Asri juga Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka berkata perlawanan yang dianjurkan itu bagus kerana negara akan menganjurkan Pestabola Merdeka dan pada masa sama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lupa jasa-jasa pemain yang pernah mewakili Malaysia.

"Slogan 'Bola Sepak Menyatukan Kita' itu sememangnya cukup tepat.

"Sudah tentu sukanlah acara yang dapat menyatukan semua rakyat di Malaysia kerana sukan tidak mengira kaum" katanya.

Nizaruddin Yusof (kiri) melakukan percubaan ke arah gol dan kawal rapi oleh pemain pasukan pilihan Selebriti dan Media. Foto Aswadi Alias
Nizaruddin Yusof (kiri) melakukan percubaan ke arah gol dan kawal rapi oleh pemain pasukan pilihan Selebriti dan Media. Foto Aswadi Alias

Sementara pasukan lawan pula diketuai personaliti televisyen dan pengulas sukan, Abu Bakar Atan; pengacara dan pelawak, Azrul Zaidi; pelakon dan pengacara, Harris Annuar serta wakil media yang juga ahli Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM).

"Kita harap kesedaran mengenai Pestabola Merdeka pada 13 hingga 17 Oktober ini bertambah meningkat sempena acara ini," kata Abu Bakar.

Lebih 200 penonton menyaksikan Perlawanan Amal Bola Sepak sempena Karnival Uniti Pestabola Merdeka. Foto Aswadi Alias.
Lebih 200 penonton menyaksikan Perlawanan Amal Bola Sepak sempena Karnival Uniti Pestabola Merdeka. Foto Aswadi Alias.

Turut hadir pada perlawanan itu Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Datuk Azman turut mempamerkan bakat bermain bola sepak dengan beraksi untuk pasukan Legenda pada petang itu.

Perlawanan yang padat dengan aksi menarik dan menghiburkan itu berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 3:27 PM