Akram meraikan jaringan hatrik untuk memastikan kemenangan Qatar 3-1 mengatasi Jordan di pentas final Piala Asia.
Akram meraikan jaringan hatrik untuk memastikan kemenangan Qatar 3-1 mengatasi Jordan di pentas final Piala Asia.

Dubai: Qatar pastikan mahkota kejuaraan Piala Asia kekal menjadi milik mereka apabila menumbangkan Jordan 3-1 pada perlawanan final yang berlangsung di Stadium Lusail, sebentar tadi.

Jelas sekali, tiga penalti yang dihadiahkan kepada tuan rumah itu membantu mereka untuk merakamkan kemenangan bergaya dihadapan puluhan ribu penyokong sendiri tanpa sebarang masalah.

Pemain Qatar meraikan kemenangan 3-1 mengatasi Jordan di pentas final Piala Asia.
Pemain Qatar meraikan kemenangan 3-1 mengatasi Jordan di pentas final Piala Asia.

Namun, hasrat Jordan untuk membawa pulang Piala Asia buat kali pertama pula lebur sekali gus perlu menunggu tiga tahun lagi untuk memastikan mahkota kejuaraan milik mereka.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah mengawal perlawanan dengan melancarkan serangan berbahaya kekubu lawan.

Skuad kendalian Tintin Marquez tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti sebelum disempurnakan Akram Afif untuk kedudukan 1-0.

Memasuki babak kedua, Jordan yang berada di ranking 87 dunia lebih menguasai perlawanan dengan mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan.

Usaha berterusan anak buah Hussein Ammouta ternyata berbaloi apabila Yazan Al-Naimat menyumbat gol penyamaan pada minit 67 untuk kedudukan 1-1.

Kegembiraan Jordan tidak berpanjangan apabila Akram terus menjadi duri dalam daging dengan menyempurnakan sepakan penalti kedua pada minit 73 untuk kedudukan 2-1.

Harapan Jordan untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan musnah selepas pengadil perlawanan dari China Ma Ning menghadiahkan penalti ketiga pada masa tambahan separuh masa kedua.

Tonggak Jordan Mousa Al-Tamari kecewa dan sedih selepas pasukan tewas kepada tuan rumah
Tonggak Jordan Mousa Al-Tamari kecewa dan sedih selepas pasukan tewas kepada tuan rumah

Akram mencetak nama sebagai penjaring hatrik pertama di pentas final Piala Asia apabila menyempurnakan sepakan penalti ketiga untuk kedudukan 3-1.

Keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Qatar sekali lagi dijulang sebagai raja bola sepak Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 1:28 AM