PENULIS menikmati pemandangan indah di bumi Brisbane, Australia.
PENULIS menikmati pemandangan indah di bumi Brisbane, Australia.
Fariz Ubaidullah


BERKUNJUNG ke bumi Kangaroo baru- baru ini memberi pengalaman baharu kepada penulis yang gemar aktiviti sukan.

Bukan sekadar dapat menikmati pemandangan indah di sekitar Brisbane, malah penulis berpeluang 'berlari' di sekitar bandar raya berkenaan.

Sesudah Subuh, dalam kedinginan pagi, penulis memulakan langkah menyusuri tebing Sungai Brisbane yang memiliki banyak jambatan mesra pejalan kaki.

Meskipun matahari belum terik sepenuhnya, namun sudah ramai penduduk setempat yang turut beriadah di pagi hari sebelum memulakan kerja harian masing-masing.

Rutin bersenam dan berjoging menjadi amalan penduduk barat dan tidak terkecuali di Australia.

Selain berjoging, ada yang membawa keluarga mengayuh basikal dan menaiki kenderaan mobiliti urban, skuter elektrik.

Memang seronok kerana selain cuacanya dingin, kawasan itu juga jauh dari kesibukan bandar.

Trek larian yang disediakan pihak perbandaran Brisbane juga lebar dan ada juga dibahagikan khusus untuk penunggang basikal.

Sepanjang berlari di tebing sungai itu, penulis juga sukar menemui tinggalan sampah, mungkin penduduknya menitikberatkan kebersihan ataupun pihak berkuasa tempatan kerap kali membersihkan kawasan itu.

Bagi yang tertarik untuk 'berlari' di Brisbane, terdapat tiga laluan utama yang boleh dipilih sama ada ke Kangaroo Point, Story Bridge atau ke Memorial Sandakan di New Farm Park.

MONUMEN Sandakan untuk mengenang perajurit negara itu yang terkorban dalam perang.
MONUMEN Sandakan untuk mengenang perajurit negara itu yang terkorban dalam perang.

Pengunjung juga boleh menyeberangi Goodwill Bridge untuk ke Bunya Walk atau ke Botanical Garden yang memiliki pemandangan alam semula jadi menarik.

Namun, penulis memilih untuk melalui laluan ke Clem Jonea Promenade dan bermula di muzium maritim.

Kawasan limbungan itu turut menempatkan beberapa kapal lama yang dipamerkan kepada orang ramai.

Penulis memilih kawasan Promenade itu kerana ia ada beberapa taman kecil yang turut menjadi tarikan pelancong.

Ia juga terkenal dengan buaian roda ferris, Epicurious Garden, pantai buatan dan Rainforest Walkway.

Apa yang menariknya, ada banyak jenis bunga kertas pelbagai warna yang ditanam di sepanjang kawasan South Bank di Promenade itu.

Dalam sesi larian santai itu, penulis turut berkesempatan melalui laluan ke Arbour Walkway yang diserikan lagi dengan teduhan pokok bunga kertas.

PANTAI buatan di kawasan South Bank.
PANTAI buatan di kawasan South Bank.

Selepas penat mengeluarkan peluh, penulis kemudian kembali menapak ke hotel penginapan untuk bersiap melakukan aktiviti seterusnya.

Badan terasa ringan dapat menghirup udara segar pada pagi hari dan perut juga mula berkeroncong.

Apa pun, jika berhasrat ke Brisbane pada tahun hadapan untuk menyertai mana-mana acara larian, ada baiknya menunggu pembinaan Neville Bonner Bridge siap terlebih dahulu.

Ini kerana jambatan itu bukan sahaja direka dengan reka bentuk unik iaitu seperti riben yang meliuk lentuk, malah dapat merentasi Sungai Brisbane ke Queen's Wharf.

Selain itu, salah satu jambatan ikonik iaitu Kangaroo Point Green Bridge juga dijadualkan siap pada 2024.

Pembinaan jambatan ikonik itu secara tidak langsung dapat menjadi daya tarikan pelancong luar untuk berkunjung ke bumi Brisbane.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 7:00 AM