KETIKA menyertai Borobudur Marathon 2018.
KETIKA menyertai Borobudur Marathon 2018.
Hafiz Ithnin


"KITA perlu seronok dan jangan tertekan apabila berlari," jelas pelari wanita berusia 44 tahun itu yang ditemu bual penulis baru-baru ini.

Namanya dalam komuniti larian tempatan juga bukan sesuatu yang asing kerana kemampuannya sentiasa berada di atas podium apabila beraksi di dalam pelbagai acara larian.

Sebenarnya di sebalik pencapaian si pemilik nama Kartini Ahmad Kamal, beliau bukanlah seorang yang aktif di dalam dunia sukan ketika zaman remaja atau kanak-kanak.

Semua bermula apabila beliau hanya menyertai acara larian secara suka-suka pada 2012. Itu pun kerana tertarik dengan barangan di dalam 'goodies bag' yang disediakan pihak penganjur acara.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah itu juga sebenarnya tidak pernah menyangka beliau akan menjadi 'ketagih' di dalam dunia larian sehinggakan menjadi salah satu gaya hidupnya.

Lebih mesra disapa Tini, beliau masih ingat larian pertamanya pada 2012 membabitkan 10 kilometer. Masa yang direkodkan pula sejam 20 minit. Kini, masa terbaik yang dicatatkan Tini untuk jarak berkenaan sekitar 45 minit.

Baginya tiada perkara yang terlambat untuk disertai di dalam kehidupan. Selagi mempunyai usaha dan matlamat, ia bukan sekadar mimpi tetapi mampu menjadi sebuah realiti.

"Saya ketika di sekolah bukanlah seorang yang aktif di dalam dunia sukan. Paling tidak pun hanya bermain bola jaring. Itu pun bukan secara serius. Pada usia 36 tahun baharu saya membuka langkah untuk menyertai acara larian.

MELATIH minda untuk menikmati larian salah satu cara untuk mengekalkan prestasi terbaik.
MELATIH minda untuk menikmati larian salah satu cara untuk mengekalkan prestasi terbaik.

"Pada masa sama, saya melihat tiada istilah lewat kerana apabila kita sudah komited dan mempunyai sasaran untuk mencatatkan masa terbaik misalnya, kita akan berusaha mencapai impian itu menerusi latihan secara konsisten," katanya.

Tini berkata, di dalam dunia larian beliau lebih gemar untuk menyertai marathon sejauh 42 kilometer (km) berbanding larian denai atau ultra iaitu jarak larian melebihi 42 km.

"Sebenarnya untuk serius atau mempunyai prestasi yang baik di dalam dunia larian ini, bagi pendapat saya ialah kita tidak boleh merasa tertekan dan perlu melakukan latihan dengan mendengar kemampuan badan sendiri.

"Kadang-kala ada orang yang mempunyai latihan secara kerap mungkin sehari sehingga dua sesi. Namun, saya tidak begitu. Cukup untuk seminggu tiga kali latihan tetapi dilakukan secara berkualiti," katanya.

Katanya, bersandarkan pengalaman pernah cedera pada 2017 yang memerlukan dia berehat sebenarnya mengajar mengenai untuk memahami keadaan persediaan otot untuk melakukan aktiviti larian.

"Sebelum saya cedera boleh dikatakan saya menyertai kejohanan larian 'back to back' sehingga tidak menyedari sebenarnya otot sudah penat dan tidak bersedia untuk beraksi di dalam acara seterusnya.

SUAMI Kartini juga seorang yang aktif berlari.
SUAMI Kartini juga seorang yang aktif berlari.

"Jadi ketika berehat sebentar sekitar sebulan tidak menyertai sebarang kejohanan, saya melakukan aktiviti menguatkan otot dan ternyata ia memberi banyak manfaat kepada diri," katanya.

Jelasnya, sebenarnya untuk aktif di dalam larian seseorang itu perlu memahami kehendak tubuh badan dan tidak boleh memaksa kerana ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada prestasi.

"Sebelum saya cedera, saya hanya sertai sahaja pelbagai acara larian. Selepas itu, saya melihat prestasi saya semakin menurun dan ia tidak baik untuk kesihatan tubuh.

"Apabila saya faham mengenai kehendak tubuh, ia mampu memberikan prestasi yang baik terutama melakukan latihan secara berkualiti dan tidak hanya memfokuskan kepada larian sahaja. Malah, menguatkan otot juga perkara yang perlu diberi perhatian," katanya.

Tambahnya, dari segi penjagaan makanan beliau tidak mempunyai diet yang khusus kerana aktiviti

larian sememangnya menyebabkan seseorang itu mudah untuk membakar kalori di dalam badan.

"Saya makan seperti orang lain. Tidak mempunyai diet khusus. Cuma perkara yang saya elakkan ialah makan makanan pedas terutama jika waktu kejohanan larian sudah mula hampir.

"Jika teringin makan makanan pedas, saya akan makan selepas kejohanan dan bukan sebelum kerana tidak mahu mengambil risiko seperti mengalami sakit perut ketika berlari," katanya.

Bagi dirinya perkara paling utama untuk mengekalkan prestasi larian selain daripada melakukan latihan yang berkualiti ialah jangan merasakan aktiviti itu sebagai satu tekanan.

"Ada segelintir yang aktif di dalam larian merasakan prestasi itu amat penting sehingga tertekan sebenarnya mengawal emosi dengan kita sentiasa tenang juga adalah salah cara untuk mempunyai prestasi yang baik.

"Bagi saya sentiasa gembira dan kemenangan itu adalah bonus," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:00 AM