BEBERAPA pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar pada lukisan mural di belakang sebuah bangunan di Jalan Penjara. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
BEBERAPA pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar pada lukisan mural di belakang sebuah bangunan di Jalan Penjara. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LAZIMNYA lorong belakang bangunan sering dikaitkan dengan pelbagai persepsi negatif seperti kotor, berbau busuk dan terdedah dengan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral termasuk ‘port’ penagihan dadah.

Namun begitu, lain pula bagi sekumpulan pelukis dari Persatuan Pelukis Negeri Perlis apabila mengubah persepsi itu kepada 25 lukisan mural yang mampu menarik pengunjung di lorong belakang bangunan di Jalan Penjara di Kangar.

Pengerusinya, Yaakob Abd Aziz berkata, beliau bersama 14 pelukis lain mengambil inisiatif berkenaan bagi membawa perubahan kepada suasana lorong belakang supaya lebih ceria dan terbuka kepada masyarakat.

Menurutnya, projek yang turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Perlis itu sudah bermula sejak Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya penghujung Januari ini.

“Masyarakat tahu lorong yang sunyi dan kelam membawa kepada elemen kejahatan sehingga ia dimomokkan dari generasi ke generasi bahawa lorong belakang bangunan adalah sarang aktiviti tidak bermoral.

“Sebagai ahli persatuan, kami mencabar diri sebagai pelukis agar melakukan perubahan kepada pengunjung di dalam negeri ini melalui hasil contengan mural pada bahagian belakang bangunan,” katanya ketika ditemui di Jalan Penjara, di Kangar, semalam.

SUASANA lorong di belakang sebuah bangunan yang ceria dihiasi contengan dan lukisan mural di Jalan Penjara. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SUASANA lorong di belakang sebuah bangunan yang ceria dihiasi contengan dan lukisan mural di Jalan Penjara. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Yaakob berkata, setakat ini lukisan mural berkenaan hampir siap sepenuhnya dan hanya mengambil masa untuk melakukan proses kekemasan lukisan.

“Ini kerana ada beberapa lukisan yang menampilkan beberapa ikon dan tokoh di negeri ini seperti pelawak terkenal, Allahyarham Yusri Edo atau lebih dikenali sebagai Pak Yus Jambu, Awang Batil serta tokoh negeri Perlis yang lain.

“Jadi saya berharap selepas ini, kawasan hitam yang sering mendapat jolokan atau mempunyai persepsi negatif itu dapat diubah kepada lokasi tarikan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, bagi pengunjung, Nadiah Ashikin Mohd Zaki, 25, berkata, inisiatif yang diambil kumpulan terbabit seharusnya diberikan penghargaan kerana tidak ramai peduli akan nasib lorong belakang bangunan.

“Selepas ini, lorong-lorong belakang bangunan mampu menjadi tarikan pengunjung disamping bangunan lama yang kotor dan tidak bermaya lebih cantik dan segar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 2:58 PM