Nurul Husna Mahmud


PULAU Bidong iaitu pulau kecil di pesisir Kuala Nerus, Terengganu yang tidak berpenghuni lebih diingati sebagai penempatan kepada lebih 250,000 pelarian Vietnam di Malaysia.

Rentetan peristiwa besar yang berlaku sekitar 1978 berlarutan sehingga 1990 itu mungkin masih diingati generasi nelayan tempatan sekitar pulau itu apabila berlaku ketegangan penduduk setempat dengan pelarian Vietnam yang menghuni kerana lokasi itu juga antara mata pencarian hasil laut terpenting di situ.

Suatu yang melegakan apabila pada 1991 kerajaan mengumumkan penutupan pusat penempatan sementara pelarian Vietnam, sekali gus mengembalikan semula khazanah memiliki keindahan tersendiri dapat dinikmati pelancong tempatan mahupun luar.

Bagi pengunjung yang mahu menghayati keindahan dan sejarah pulau itu tidak semestinya perlu bermalam di pulau terbabit.

Satu 'port' terbaharu boleh menjadi lokasi yang menarik perhatian peminat aktiviti perkhemahan pesisiran pantai dengan bermalam di Bidong View Beach Camp.

Kedudukan tapak perkhemahan itu menghadap Pulau Bidong antara elemen yang ideal untuk mereka meninjau keunikan pulau terbabit sambil menginap dengan persekitaran lebih kondusif.

Pencinta alam sekitar boleh menikmati suasana lebih privasi apabila lokasi ini dikelilingi pokok menghijau selain kedengaran kicauan burung mampu membangkitkan rasa tenang bermalam di kawasan terbabit.

Menurut operator Bidong View Beach Camp, Anuar Ngah lokasi itu juga sesuai untuk peminat aktiviti rekreasi pantai seperti berkelah, memancing dan berkayak.

"Mereka yang sukakan cabaran dan mencuba lokasi baharu, tapak perkhemahan ini yang baru sahaja dibuka kepada umum Mei lalu.

SESUAI untuk aktiviti perkhemahan bersama keluarga dan teman.
SESUAI untuk aktiviti perkhemahan bersama keluarga dan teman.

"Ia sesuai terutama pengunjung datang bersama seisi keluarga atau mereka yang bercuti bersama rakan di kawasan yang lebih privasi dan selesa.

"Walaupun tidak semewah pengalaman glamping atau di hotel, konsep percutian dekat dengan alam semula jadi masih dirasakan selesa kerana tapak ini ada kemudahan asas seperti tandas, gazebo dan tempat barbeku," katanya.

Lokasi pusat perkhemahan di kawasan pantai Kampung Mengabang Lekar, Batu Rakit, Kuala Nerus ini juga menawarkan satu pengalaman unik.

Kata Anuar, tidak hanya bermain air laut, mereka yang berada di tapak perkhemahan boleh mengamati cara hidup desa yang sederhana apabila mandi menggunakan perigi.

PULAU Bidong pernah menjadi pusat penempatan sementara pelarian Vietnam.
PULAU Bidong pernah menjadi pusat penempatan sementara pelarian Vietnam.

"Uniknya di sini ada sebuah perigi lama yang masih boleh digunakan dan pengunjung dapat merasa pengalaman bagaimana orang dahulu yang hanya bergantung kepada perigi sebagai sumber air.

"Rasa sejuk mata air membilas tubuh selepas bermain air laut antara pengalaman yang cukup menyegarkan pengunjung di sini.

"Saya turut menjadikan pusat perkhemahan ini 'port' untuk pembelajaran anak sendiri menerusi pengalaman mengenai falsafah kehidupan," katanya.

Peminat aktiviti memancing pula boleh leka 'menawan' spesies ikan pesisir pantai yang banyak terdapat di

kawasan perkhemahan terbabit.

AKTIVITI orang kampung dan nelayan tempatan.
AKTIVITI orang kampung dan nelayan tempatan.

"Antara hasil pancing di kawasan pantai ini termasuk ikan ebek, ikan derang, gelama dan bulus kerana di hadapan tapak perkhemahan terdapat tebing tanah keras menjadi tempat ikan bermain.

"Manakala ketika musim sotong antara Mac hingga Julai, candat sotong dapat dilakukan di sini terutama pada masa bulan terang," katanya.

Anuar berkata, pengunjung yang mahu datang digalakkan membawa peralatan perkhemahan sendiri.

"Perancangan untuk bangunkan beberapa chalet dan restoran bagi keselesaan pengunjung akan datang.

"Kami ketika ini hanya menyediakan kemudahan khemah untuk disewa dan jika bernasib baik pengunjung boleh membeli hasil laut nelayan dari kampung nelayan berhampiran atau bot yang baru mendarat di pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 8:47 AM