MODEL prototaip Moto2.
MODEL prototaip Moto2.
Lizam Ridzuan


Menjadi pembekal enjin untuk Moto2 dalam perlumbaan MotoGP bermula tahun hadapan pencapaian terbaik buat Triumph.

Pengumuman tahun lalu itu dilihat melonjakkan kembali jenama motosikal United Kingdom (UK) ini sebagai antara model berprestasi dan terbaik dalam pasaran global.

Proses tunggang uji dan penambahbaikan sedang giat dijalankan menggunakan enjin tiga silinder yang terbabit dalam sejarah perlumbaan motosikal lebih 100 tahun lalu.

Untuk mendapat gambaran lebih jelas, wartawan Vroom Harian Metro, Lizam Ridzuan menemubual Ketua Pegawai Komersial Triumph Motorcycles, Paul Stroud yang kali pertama berkunjung ke negara ini dalam lawatan rasmi bertemu pengedar utama jenama Triumph tempatan.

PAUL ketika berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.
PAUL ketika berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.

Soalan: Boleh anda terangkan perkembangan terkini Triumph dalam perlumbaan MotoGP?

Paul: Triumph Motorcyles secara eksklusif dipilih oleh Dorna selaku pemegang hak komersial MotoGP menjadi pembekal enjin untuk setiap pasukan bertanding dalam perlumbaan Moto2 selama tiga tahun bermula 2019.

Kami akan menyediakan enjin 765cc tiga silinder yang digunakan untuk model Triumph Street Triple RS 2017 dengan melakukan talaan pada kuasa dan tork kegunaan litar.

Soalan: Apakah perubahan dilakukan pada enjin tersebut?

Paul: Enjin 765 cc ini adalah nadi asas model Daytona 675R iaitu jentera Supersport yang memenangi banyak kejuaraan seperti perlumbaan Isle of Man TT, Daytona 200 dan British Supersports Championship pada 2014 dan 2015.

Untuk prestasi maksimum, kami melakukan pengubahsuaian terhadap kepala silinder dengan mengoptimumkan aliran gas pada inlet dan ekzos, injap titanium dan spring injap lebih keras untuk meningkatkan rpm, alternator kit perlumbaan pengeluaran rendah, nisbah tukaran gear pertama panjang, klac slipper perlumbaan, Unit Kawalan Enjin (ECU) perlumbaan dibangunkan bersama Magneti Marelli, pelindung enjin baru dan tangki minyak enjin berbeza untuk meningkatkan pengendalian dan pecutan.

ENJIN 3 silinder 765cc.
ENJIN 3 silinder 765cc.

Soalan: Apakah bermaksud Moto2 menggunakan enjin sama untuk semua pasukan?

Paul: Kategori pertengahan Moto2 adalah platform melahirkan lebih banyak bakat pelumba untuk menyerlah dan bersaing dalam kategori utama MotoGP.

Kehadiran Triumph sebagai pembekal enjin tunggal dengan ECU disesuaikan adalah evolusi terbaik dalam sejarah MotoGP untuk melengkapkan setiap pelumba dengan kemahiran dan pengendalian terbaik.

Soalan: Selepas diumumkan sebagai pembekal enjin Moto2, apakah impak untuk jenama Triumph?

Paul: Sebaik pengumuman dilakukan sebagai penyedia enjin rasmi Moto2, capaian laman web kami terutama untuk model Street Triple meningkat lebih 30 peratus manakala jualan dari tahun ke tahun bertambah sehingga 14 peratus.

Ia juga menerima capaian pengguna baru yang berminat mengetahui dengan lebih dekat jenama Triumph serta model ditawarkan dalam pasaran.

BAKAL membuat kemunculan pada 2019.
BAKAL membuat kemunculan pada 2019.

Soalan: Apakah perancangan Triumph dalam tempoh beberapa tahun akan datang?

Paul: Untuk MotoGP, kami akan menyerahkan barisan enjin pertama untuk diuji pasukan yang bertanding pada pertengahan tahun ini.

Triumph juga sedang bekerjasama dengan pengeluar motosikal terbesar India, Bajaj dalam membangunkan model mampu milik bagi membolehkan lebih ramai peminat dua roda berpeluang memiliki motosikal Triumph di India selain bakal diperluaskan ke negara lain.

Untuk pasaran tempatan (Malaysia), empat model baru bakal dilancarkan bulan hadapan iaitu Triumph Bobber Black, Speedmaster, Tiger XR and Tiger XC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:29 AM