SPEED Twin.
SPEED Twin.
Lizam Ridzuan

Lima model baharu menjadi taruhan Triumph Motorcycles Malaysia untuk menawan pasaran motosikal berkuasa tinggi premium di negara ini.

Melalui pengedar eksklusifnya Fast Bikes Sdn Bhd, model ‘Moden Klasik’ terdiri daripada Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin bakal memenuhi pelbagai corak dan gaya tunggangan pembeli.

Paling mencuri tumpuan model Scrambler 1200 XC sesuai untuk tunggangan jalan raya dan lasak manakala 1200 XE bagi peminat tegar laluan lasak.

Kedua-dua model menampilkan casis baharu tahan lasak dan ergonomik serta suspensi belakang spring berkembar boleh laras Ohlins bagi keupayaan dan jarak kelegaan tanah yang baik.

Dikuasakan enjin 1,200cc Bonneville High Power SOHC silinder berkembar selari, ia menghemburkan kuasa 90 PS pada 7,400rpm dan daya tork 110 Nm pada 3,950rpm melebihi 38 dan 37.5 peratus berbanding model Street Scrambler.

SCRAMBLER XC.
SCRAMBLER XC.

Antara ciri terbaharu yang dilengkapi pada model ini ialah panel meter TFT generasi kedua, enam mod tunggangan (Road, Rain, Off-road, Sport, Off-road Customisable, Off-road pro (XE), Optimised Cornering ABS (XE), Optimised Cornering Traction Control (XE), Inertial Measurement Unit (IMU)(XE), Sistem kawalan GoPro Bersepadu dan sistem navigasi Turn-by-Turn yang dikuasakan Google.

Model Street Scrambler pula adalah pilihan jentera versatil untuk yang mahukan gaya tunggangan kasual dengan ciri lasak dikuasakan enjin Bonneville 900cc dengan enjin dipertingkatkan 18 peratus berbanding sebelumnya.

TRIUMPH Scrambler XE.
TRIUMPH Scrambler XE.

Model lain iaitu Triumph Street Twin adalah model kontemporari dengan enjin Bonneville 900cc yang dipertingkatkan kuasa sebanyak 65 PS pada 7,500rpm dan tork 80 Nm pada 3,800rpm serta menghasilkan bunyi ‘British Twin’ yang unik.

Ia didatangkan dengan mod tunggangan ‘Road’ dan ‘Rain’, aksesori Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan kawalan cengkaman boleh laras dengan tiga pilihan warna iaitu ‘Matt Ironstone’, ‘Korosi Red’ dan ‘Jet Black’.

STREET Twin.
STREET Twin.

Untuk Triumph Speed Twin, ia diperkenalkan semula dengan casis lebih ringan dan ergonomik sebagai motosikal roadster yang selesa untuk ditunggang.

Ia memiliki enjin 1,200cc talaan Thruxton dengan kuasa kuda 97 PS pada 6,750rpm dan tork 112 Nm pada 4,950rpm, tiga pilihan mod tunggangan Sport, Road dan Rain serta setiap satu dengan tetapan map pendikit dan kawalan cengkaman.

Untuk pasaran Malaysia, Triumph Street Twin dijual pada harga RM55,900, Street Scrambler (RM64,900), Scrambler XC( RM80,900), Scrambler XE (RM86,900) dan Speed Twin (RM73,900) dengan dua tahun waranti tanpa had perbatuan ditawarkan. #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:01 AM