METER 3D analog dan digital.
METER 3D analog dan digital.
ELEMEN klasik dan moden,
ELEMEN klasik dan moden,
Lizam Ridzuan


SEGMEN motosikal ini menampilkan tunggangan yang bersahaja dengan gaya tersendiri.

Selain tampil unik, ia juga datang dengan elemen prestasi dan menjadi pilihan utama buat penggemar binaan khas (custom) menzahirkan sentuhan kreativiti mereka.

Triumph Speed Twin 2021 yang dilancarkan baru-baru ini menggabungkan kuasa dan tork daripada model Thruxton R, namun ia lebih praktikal serta selesa.

Malah, sejak diperkenalkan pada 2018, ia meletakkan laras baharu untuk segmen motosikal klasik moden dengan kualiti dan prestasi yang berbeza.

Ia dikuasakan enjin Bonneville dwi-silinder 1,200 cc High Power yang dipertingkatkan sebanyak 3PS kepada 100PS pada 7,250rpm dan tork 112Nm pada 4,250rpm.

KEMASAN dan gaya terkini.
KEMASAN dan gaya terkini.

Bunyi ekzos datang daripada keluli baharu dengan 'header' yang kemas dan disambung kepada paip lurus serta menyembunyikan pemangkinnya, seterusnya menghasilkan akustik lebih menarik.

Pengendalian dengan prestasi terbaik adalah elemen yang dikekalkan untuk model tahun 2021 ini.

Ia dilengkapi suspensi hadapan dengan fork 43 milimeter (mm) terbalik jenama Marzocchi dengan katrij redaman dan travel 120mm.

ANGKUP brek Brembo.
ANGKUP brek Brembo.

Ia juga datang dengan dua suspensi belakang boleh laras prabebanan yang semuanya ditala untuk motosikal gaya klasik bagi tunggangan lebih selesa dan menarik.

Malah untuk keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan cakera berkembar 320mm Brembo monobloc M50 dengan empat piston turut disediakan.

Untuk bahagian belakang, ia lengkap dengan angkup Nissin dua piston serta cakera tunggal 220mm.

Tayar Metzeler Racetec RR pula adalah ciri standard untuk lebih cengkaman manakala rimnya jenis tetuang aluminium 17 inci dengan rekaan baharu 12 jejari.

Selain ciri mekanikal terbaharu, Triumph Speed Twin 2021 ini dilengkapi teknologi pendikit 'ride-by-wire' untuk kawalan dan kuasa lebih tepat.

Ia juga didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Sport yang boleh ditukar melalui butang pada pemegang ketika motosikal bergerak.

Mod Kawalan Cengkaman boleh dihidupkan atau dinyahaktifkan melalui menu yang terdapat dalam meter 3D analog dan digital yang turut memaparkan posisi gear, dua meter jarak, tahap bahan api, baki jarak serta penggunaan petrol secara purata.

Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS) juga antara yang ada pada motosikal ini.

Lampu hadapan, belakang serta membelok pula jenis LED malah ia dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL)

Menambah kemudahan kepada penunggang, sistem 'immobiliser' yang digabungkan dengan kunci Triumph premium turut tersedia.

Tangki bahan apinya berkapasiti 14.5 liter manakala pelana mendatar memberi lebih keselesaan serta gaya.

Tambahan kepada kemasan ialah pelindung lumpur aluminum hadapan dan belakang, pelindung tumit kaki, pemegang lampu hadapan, penutup tangki bahan api Monza klasik dan lengan hayun belakang aluminium.

Tiga warna ditawarkan iaitu Merah Hopper, Kelabu Matt Storm dan Hitam Jet Black.

Triumph Speed Twin 2021 dijual pada harga RM77,900 (atas jalan tanpa insurans).

Model ini dijangka berada di pasaran pada Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 7:00 AM