Lizam Ridzuan


Segmen motosikal ‘scrambler’ kini semakin berkembang di negara ini dengan penawaran model baharu yang kian menarik.

Sememangnya ia mengambil konsep motosikal dwikegunaan yang hadir dengan rekaan moden dan klasik, bukan saja sesuai pada laluan lasak malah bergaya di jalanan.

Untuk tujuan itu, sebagai pengedar eksklusif motosikal Triumph di negara ini, Fast Bikes Sdn Bhd melancarkan model Scrambler 1200 XC yang julung kali diperkenalkan ke pasaran.

Sebelum ini, sejak 2006 ia hanya ditawarkan dengan enjin 865cc yang diasaskan daripada model Bonneville dengan ciri talaan ‘mesra’ off-road.

TUNGGANGAN lasak Scrambler 1200 XC.
TUNGGANGAN lasak Scrambler 1200 XC.

Untuk menilai dengan lebih dekat model ini, Vroom Metro Ahad berkesempatan mengujinya dan ternyata ia tampil dengan gaya dan prestasi mengagumkan.

Melihat pada reka bentuk motosikal ini, paling ketara ialah kedudukan ekzos berkembar yang tinggi pada sebelah kanan sebagai ciri utama ikon untuk model scrambler jenama Triumph.

Ditambah dengan kemasan plat nombor sisi aluminium, pelindung lumpur, panel sisi, besi pelindung enjin dan kedudukan pemegang lebar, ia menyerlahkan sisi kelasakan yang ada padanya.

Lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) dalam perumah berbentuk bulat serta lampu belakang dengan lampu isyarat terpisah adalah elemen retro yang diketengahkan.

Tangki 16 liter corak signatur jenama Triumph dan pelana 840 milimeter (mm) landai memberikan keselesaan terutama untuk tunggangan jarak jauh serta untuk membawa pembonceng.

Kerangka gabungan besi dan aluminium khusus dibangunkan untuk model ini dengan lengan ayun berkembar serta roda 21 inci hadapan dan 17 inci belakang daripada jenis jejari sebagai ciri ‘cruiser’ dan ‘off-road’.

Suspensi hadapan boleh laras daripada jenis fork terbalik Showa, travel 200mm serta penyerap hentakan berkembar belakang boleh laras Ohlins untuk keselesaan serta melepasi laluan mencabar turut disertakan.

PANEL meter TFT generasi kedua.
PANEL meter TFT generasi kedua.

Paling memberi kelebihan ialah panel meter TFT generasi kedua pelbagai fungsi untuk motosikal versi terbaharu Triumph yang memaparkan segala maklumat perjalanan dengan jelas dalam definasi tinggi.

Odometer, rpm, tahap penggunaan bahan api, kedudukan gear, indikasi servis, jam dan mod tunggangan boleh dilihat dengan jelas serta dilaras dengan mudah.

Triumph juga memperkenalkan sistem kawalan GoPro bersepadu yang memudahkan operasi kamera GoPro menerusi aksesori modul sambungan Bluetooth dan sistem navigasi oleh Google.

Melalui enjin 1,200cc SOHC silinder berkembar selari daripada Bonneville High Power generasi terkini, ia mengalirkan tenaga dengan lancar yang menjana 90 PS pada 7,400 rpm dan tork 110 Nm pada 3,950 rpm.

Kotak gear enam kelajuan dengan klac basah plat pelbagai menjadikan ia sesuai untuk pelbagai kelajuan dan ketika melalui jalan bandar sekalipun, ia mengalirkan tenaga dengan baik sekali.

Penulis sempat mencuba di laluan lasak dan berair dengan fungsi sistem brek antikunci (ABS) dimatikan, ia memberi gelinciran bagi kenikmatan pengendalian dan sekiranya dihidupkan kembali fungsi itu, ia menstabilkan jentera dengan baik.

Ditambah dengan jarak kelegaan jalan sekitar 200mm, sesuai untuk menempuh laluan lasak terutama laluan berbatu dan melepasi anak sungai.

Ketika di lebuh raya, Scrambler 1200 XC memberi pengendalian terbaik sama ada untuk memintas kenderaan atau pada kelajuan tinggi serta ketika melewati selekoh.

Sistem keselamatan dengan brek cakera hadapan dan belakang serta angkup hadapan radial monoblok Brembo M50 dengan ABS adalah ciri tertinggi dalam segmennya.

Selepas mengujinya untuk tempoh beberapa hari, ternyata jentera ini sesuai bagi opsyen kegunaan harian, menunggang pada hujung minggu atau penjelajahan jalan raya biasa atau lasak.

Kedudukan menunggang juga santai, namun penulis berpendapat ia lebih sesuai buat mereka yang bertubuh tinggi untuk memberikan pengendalian dan kawalan terbaik terutama ketika memberhentikan motosikal atau memasuki laluan off-road.

SENTUHAN lampu belakang retro.
SENTUHAN lampu belakang retro.

Rekaan moden dan klasik memudahkan pemiliknya memadankan dengan pakaian menunggang lebih kasual untuk tampil lebih bergaya.

Tangki bahan api pula mencatatkan penggunaan sekitar 4.9 liter setiap 100 kilometer untuk jarak perjalanan dengan tangki penuh 16 liter.

Sejujurnya, penulis terasa panas akibat haba daripada eksoz yang terletak berhampiran dengan paha ketika berhenti di lampu isyarat, namun sebaik motosikal bergerak, bahang itu hilang.

Meskipun berbentuk retro, tidak pada teknologi yang ditawarkan di mana ia dilengkapi paparan meter termaju, pengecas USB terletak di bawah tempat duduk dan sistem tanpa kunci bagi menghidupkan motosikal.

Enjin talaan scrambler serta ciri keselamatan terbaik membolehkan ia menghasilkan bunyi mantap sebagai ciri signatur Triumph manakala kelajuan maksimum pula mencecah 180 kilometer/sejam (km/j).

Lima mod menunggang iaitu Road, Rain, Off-road, Sport, Off-road Customisable boleh ditukar mengikut kesesuaian permukaan jalan serta tujuan perjalanan.

Selain model ini, adas satu lagi varian iaitu XE yang lebih khusus buat prestasi off-road dengan beberapa ciri yang berbeza dijual pada harga sekitar RM86,900.

Dua pilihan gabungan warna boleh dipilih iaitu ‘Jet Black’ dan ‘Matt Black’, ‘Khaki Green’ dan ‘Brooklands Green’.

Untuk pasaran Malaysia, Triumph Scrambler 1200 XC dijual pada harga RM80,900 (harga asas) dengan dua tahun jaminan tanpa had perbatuan ditawarkan.

TRIUMPH Scrambler 1200 XC

ENJIN: 1,200cc SOHC silinder berkembar selari

TRANSMISI: 6 kelajuan

KUASA MAKSIMUM: 90 PS pada 7,400 rpm

TORK MAKSIMUM: 110 Nm pada 3,950 rpm

KAPASITI BAHAN API: 16 liter.

CIRI KESELAMATAN: Sistem brek antikunci (ABS)

HARGA: RM80,900 (harga asas)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 4:30 AM
GAYA scrambler terbaharu Triumph. FOTO: Roslin Mat Tahir
GAYA scrambler terbaharu Triumph. FOTO: Roslin Mat Tahir