ALIRAN trafik tinggi ketika musim perayaan dan cuti.
ALIRAN trafik tinggi ketika musim perayaan dan cuti.
Lizam Ridzuan


CUTI sekolah dan musim perayaan Tahun Baharu Cina bakal menjelang pasti ramai ambil kesempatan sama ada bercuti atau pulang ke kampung halaman masing-masing.

Setiap tahun juga kita disajikan laporan kesesakan lalu lintas termasuk di lebuh raya pada ketika itu yang membuatkan perjalanan mengambil masa lebih lama dari biasa.

Perancangan lebih teliti termasuk masa perjalanan perlu dilakukan agar anda dan keluarga tidak merasa stres selepas tersangkut lama dalam kenderaan.

Malah lokasi tumpuan ramai juga akan menjadi sesak termasuk di restoran atau kafe jadi perlu bersedia untuk pelan B.

Vroom berkongsi 11 langkah yang boleh diambil supaya cuti sekolah kali ini akan lebih bermakna bersama teman-teman atau keluarga tercinta.

Rancang perjalanan awal

Sebaiknya, rancang perjalanan anda dengan awal dan ada yang melakukannya setahun atau enam bulan lebih awal. Ia termasuk tempahan penginapan, tiket perjalanan, dan aktiviti yang ingin dilakukan. Pemandangan tempatan dan tarikan pelancongan mungkin lebih sesak semasa musim cuti, jadi perancangan awal dapat membantu mengelak kekecewaan atau terpaksa berpusu-pusu dalam keadaan yang tidak selesa.

Ambil perhatian kepada cuaca

Periksa ramalan cuaca sebelum merancang aktiviti luar. Musim perayaan dan cuti sekolah boleh membawa cuaca yang tidak menentu, jadi pastikan anda bersedia untuk keadaan hujan atau cuaca panas atau boleh mempertimbangkan lokasi yang kurang berisiko terutama ketika musim hujan.

Elakkan masa puncak

Cuba elak perjalanan pada masa puncak dan sebaiknya cuba pergi ke destinasi anda pada hari biasa atau waktu kurang sibuk dapat membantu anda menikmati pengalaman tanpa terlalu ramai orang selain mengurangkan stres jika terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Berhati-hati dengan keselamatan

Pastikan keselamatan anda dan keluarga adalah keutamaan. Elak meninggalkan harta berharga di dalam kenderaan dan pastikan tempat penginapan dan parkir kenderaan anda selamat daripada potensi bencana alam.

Mengutamakan rehat

Usah terlalu terburu-buru dan berusaha mencapai terlalu banyak tempat dalam satu perjalanan. Beri masa mencukupi untuk anda sekeluarga rehat dan bersantai untuk mengelakkan keletihan yang berlebihan.

Lesen dan cukai jalan

Pastikan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan masih hidup kerana kebarangkalian sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa sering dilaksanakan ketika musim cuti dan perayaan. Ia juga penting bagi melindungi kenderaan jika berlaku kemalangan.

Servis kenderaan

Pastikan kenderaan dalam keadaan baik serta melakukan servis dan penyelenggaraan bagi mengelakkan sebarang kerosakan terutama ketika menempuh aliran trafik yang tinggi serta kesesakan jalan raya.

Baki kad mencukupi

Pastikan kad tol prabayar ataupun baki dalam kad debit sentiasa mencukupi bagi memastikan kelancaran sepanjang perjalanan. Pastikan juga alatan seperti Smart Tag atau RFID dalam keadaan baik.

Bawa bekalan dan air

Pastikan anda membawa bekalan makanan dan air yang mencukupi terutamanya jika merancang melakukan perjalanan jauh. Ini akan membantu anda menghadapi keadaan tidak jangka dan memastikan keselesaan sepanjang perjalanan.

Berkomunikasi

Perjalanan yang panjang dan sesak bukan sahaja menambah stres, malah boleh menyebabkan ramai hilang sabar. Sebaiknya berkomunikasi bersama semua penumpang dalam kenderaan dan mereka perlul ambil inisiatif untuk tidak hanya tidur sepanjang perjalanan. Berbual kosong juga boleh menghilangkan ra

sa mengantuk selain membuatkan perjalanan tidak terasa lama.

Ikuti arahan dan papan tanda

Pastikan anda mematuhi peratuan lalulintas dan papan tanda serta memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan.

Semoga tips ini dapat membantu anda menikmati perjalanan anda semasa musim perayaan dan cuti sekolah akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 6:55 AM