PASTIKAN kenderaan diparkir di tempat selamat.
PASTIKAN kenderaan diparkir di tempat selamat.
Lizam Ridzuan

HUJUNG tahun waktu musim tengkujuh dan ketika ini banjir sudah mula berlaku di beberapa negeri terutama di bahagian utara.

Selain ada kawasan kediaman tenggelam dinaiki air, tidak kurang juga banyak laluan terputus hubungan kerana kenderaan tidak dapat melaluinya.

Perancangan dan langkah berjaga-jaga perlu diutamakan sebelum melakukan sebarang pergerakan.

Vroom berkongsi tips pemanduan kepada pengguna jalan raya yang ingin melakukan perjalanan ketika musim hujan bagi memastikan keselamatan semua.

Ia juga supaya dapat menghindari kenderaan memasuki kawasan tidak selamat dan mengelak dibawa arus seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Periksa ramalan cuaca:

Sebelum mulakan perjalanan pastikan pantau keadaan terkini dan ramalan berkaitan cuaca di mana telefon bimbit juga menyediakan ciri itu. Pastikan juga mendapatkan maklumat mengenai potensi hujan lebat atau banjir daripada agensi meteorologi tempatan sebelum merancang perjalanan.

Gunakan aplikasi pengesanan banjir:

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) memperkenal satu aplikasi yang memberi maklumat kepada orang ramai mengenai banjir iaitu MyPublic Infobanjir.

Ia direka untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terperinci encana banjir. Aplikasi ini menyediakan data banjir untuk 1,500 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pantau media sosial dan pengumuman awam:

Ikuti akaun media sosial pihak berkuasa tempatan atau badan keselamatan bagi mendapatkan pengumuman dan makumat terkini berkaitan banjir.

Simpan nombor kecemasan:

Pastikan anda mempunyai senarai nombor kecemasan seperti bomba, polis, dan agensi keselamatan lain dan simpan nombor ini di tempat mudah diakses.

Elak laluan berisiko banjir:

Sekiranya ada pilihan elakkan laluan berkemungkinan berlakunya banjir dan boleh gunakan aplikasi peta digital untuk rancang laluan alternatif.

Jangan menyeberangi laluan banjir:

Sekiranya keadaan jalan dilalui dinaiki air sebaiknya tidak meneruskan perjalanan dan boleh pilih laluan yang lain. Jangan sesekali cuba menyeberang kerana ia boleh mengakibatkan kereta dinaiki dihanyutkan arus.

Bawa peralatan keselamatan:

Sekiranya anda sering melalui kawasan berisiko pastikan bawa peralatan keselamatan seperti jaket, pelampung dan alat pemecah kaca di dalam kenderaan.

Simpan kenderaan di tempat selamat:

Pastikan anda letak kenderaan di kawasan tinggi atau selamat daripada banjir jika tinggal dalam kawasan risiko bencana.

Pandu kenderaan dengan berhati-hati:

Apabila memandu dalam keadaan hujan lebat, kurangkan kelajuan dan lebih fokus pada keadaan jalan raya. Jangan brek mendadak yang boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan. Pastikan bunga tayar kenderaan masih elok.

Perlindungan insurans tambahan:

Jika kawasan tempat tinggal anda dalam kawasan banjir maka disarankan mengambil perlindungan insurans tambahan atau perlindungan peril khas untuk mendapatkan pampasan atas kerosakan kenderaan disebabkan bencana alam seperti disenaraikan dalam polisi insurans kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:20 AM