GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengguna kenderaan menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor pada 19 Januari hingga 22 Januari dinasihatkan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 9 pagi.

Ia bagi mengelakkan daripada bertembung dengan perjalanan pengguna yang menghala ke destinasi yang lebih dekat pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi Plus Malaysia Berhad (Plus), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata, saranan itu dibuat berikutan jangkaan sebanyak dua juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya pada setiap hari puncak pada musim perayaan itu.

"Cadangan itu juga adalah berdasarkan analisa Plus mengenai data corak perjalanan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada musim perayaan yang lalu.

Oleh yang demikian, Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) kali ini turut berperanan untuk mengelakkan kenderaan ke pelbagai destinasi bertemu di lokasi-lokasi 'hot spot' tertentu di lebuh raya dan terperangkap di dalam kesesakan.

"TTA itu adalah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh Plus pada musim perayaan bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selamat dan lebih selesa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya menjangkakan pengguna yang menghala ke destinasi lain, yang lebih hampir dengan Lembah Klang, dinasihatkan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

"Kajian juga menunjukkan bahawa perjalanan pengguna yang mematuhi TTA akan lebih lancar dan lebih selesa.

"Namun, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

"Pihak PLUS ingin menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan saja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti Tahun Baharu Cina, tetapi juga bagi perjalanan mereka pulang ke Lembah Klang selepas bercuti, "katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna RFID dinasihatkan supaya memastikan baki e-Wallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya.

"Pastikan anda masuk dan keluar dari plaza tol menggunakan mod pembayaran yang sama, iaitu jika masuk dari plaza tol menggunakan lorong RFID, anda juga mestilah keluar menggunakan lorong RFID," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 6:49 PM