GAYA prestasi vintaj.
GAYA prestasi vintaj.
Lizam Ridzuan


MEMILIKI kenderaan berjenama serta berprestasi pasti menjadi idaman peminat permotoran.

Bagi Aizul Johann Zulkifli, 35, yang berpeluang memiliki Porsche 911 SC (930) keluaran 1982, ia perkara bermakna buat dirinya kerana jentera itu sudah tidak banyak di jalanan ketika ini.

SC yang membawa maksud Super Carrera ini warisan keluarga yang diturunkan kepadanya kerana beliau sangat meminati dunia permotoran.

Porsche 911 SC adalah model yang 'rare' dan ini versi Targa iaitu separa cabriolet dengan ciri bumbung boleh buka untuk penumpang hadapan.

Ia yang terletak di antara cermin hadapan dan tiang-B adalah elemen keselamatan untuk model ini yang juga didatangkan dengan cermin belakang yang luas serta melengkung membentuk bayangan dan bentuk kenderaan ini tanpa tiang-C.

"Saya memilih memulihara model ini kerana ia antara model lapisan sejarah bukan sahaja untuk dunia automotif, malah sebagai satu kenangan kerana ia dimiliki oleh datuk dan saya daripada generasi ketiga untuk menjaga model ini.

"Untuk enjin ia dibangunkan semula kerana ada kebocoran minyak enjin dan sudah dibaiki, selain melakukan restorasi pada bahagian 'control arm' dan servis pada 'bushing' kotak gear," katanya yang juga seorang arkitek.

Model ini dengan enjin 3.0 liter 'naturally aspirated' sejukan udara yang menjana 204 kuasa kuda (hp) dan tork sekitar 250Nm dengan kotak gear manual lima kelajuan Getrag G50.

KETIKA di Thailand.
KETIKA di Thailand.

Selain itu spoiler belakang 'whale tail' ciri standard dikekalkan serta padanan rim bersaiz 16 inci dengan saiz tayar 205/50 dan belakang menggunakan H&R 55 milimeter (mm) spacer yang menawarkan pengendalian lebih stabil dan prestasi.

Ciri lain ditambah baik dengan kit badan 'slant nose' yang bersepadu dengan kenderaan dan proses mengecat dengan warna merah ini dilakukan seorang pengecat yang pakar dalam mengecat kapal terbang.

Bagi menyuntik sedikit elemen prestasi ia diberi peningkatan pada manifold bagi tambahan kuasa dan tork, sistem pencucuhan MSD, sistem ekzos resonator dan strut bar hadapan dua 'point'.

"Ia seronok untuk dipandu pada laluan berselekoh menerusi model pacuan roda belakang (RWD) serta stereng jenis rack-and-pinion meskipun berat untuk diputar tapi menawarkan kenikmatan tersendiri,"katanya yang pernah belajar di United Kingdom.

Oleh kerana 911 SC ini dihasilkan pada 1982 ia boleh diisi dengan bahan api RON 95 kerana ketika tahun pembuatannya ia menggunakan RON 82 atau yang setaraf dengannya.

BUMBUNG boleh buka manual.
BUMBUNG boleh buka manual.

Meskipun model vintaj namun Aizul pernah memandu kereta ini ke Thailand empat kali dengan jarak perjalanan lebih 3,000 kilometer (km) pergi dan balik dan terbaharu ketika menyertai acara Des Treffen 8 pada hujung tahun lalu.

Acara menghimpunkan peminat Porsche di Thailand dan Asia Tenggara itu dengan penyertaan lebih 600 kereta serta kehadiran lebih 2,618 pemilik serantau dan model 930 milik Aizul Johann sentiasa menarik perhatian ramai.

Aizul Johann juga pengasas bersama kelab Motor Drive Group (MDG) yang menghimpunkan pemilik kereta tanpa mengira jenama dan model bagi komuniti permotoran menerusi hala tuju positif dengan menggalakan perkembangan diri dan perubahan masa depan gaya hidup setiap ahlinya ke arah lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 6:30 AM