Lizam Ridzuan


Skuter maxi 250cc yang semakin menarik dengan ciri dan rekaan ranggi kini bukan lagi untuk 'abah-abah'.

Ia ditawarkan dengan pelbagai ciri yang sesuai untuk pemanduan urban atau melakukan perjalanan jauh. Vroom minggu ini menunggang uji dan memaparkan tiga pilihan skuter iaitu Yamaha XMax, Modenas Elegan 250 ABS dan WMoto RT3 yang ditawarkan di pasaran tempatan.

YAMAHA XMax, Modenas Elegan 250 ABS dan WMoto RT3 gaya ranggi.
YAMAHA XMax, Modenas Elegan 250 ABS dan WMoto RT3 gaya ranggi.

WMoto RT3

Di antara ketiga-tiga skuter ini, WMoto RT3 adalah yang terkini dilancarkan di pasaran tempatan pada Mac lalu.

Model ini dikuasakan dengan enjin 247cc, 4 Lejang, silinder tunggal, empat injap dan DOHC (lain-lain skuter SOHC).

Ia menjana 23 kuasa kuda (hp) pada 8,000rpm dan tork 22.5Nm pada 6,500rpm.

Pemiliknya, Wan Samsuri Wan Hassan, 45, berkata, skuter berkenaan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 150 kilometer/sejam (km).

WMOTO RT3.
WMOTO RT3.

"Dengan kapasiti tangki bahan api 17 liter, skuter ini mampu menjangkau perjalanan sehingga 450 kilometer," katanya.

WMoto RT3 juga didatangkan dengan paparan meter LCD digital dan analog.

Paling menarik pada meter ini, selain maklumat perjalanan, cahayanya juga boleh ditukar dengan enam pilihan warna mengikut kesesuaian.

Penulis menunggangnya di kawasan bandar dan kedudukan pelana juga antara yang terendah iaitu sekitar 755 milimeter (mm).

Ia memudahkan capaian kaki ketika berhenti atau parkir.

Skuter ini juga datang dengan 'grip frame' buat pemiliknya menambah bekas simpanan di belakang tanpa perlu membeli 'mono rack' yang mampu menampung berat sehingga lima kilogram (kg).

Lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED dan belakang corak 'panah' menyerlahkan keunikannya.

Ciri keselamatan dengan brek hadapan dan belakang Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch serta tempat duduk anti gelincir menambahkan keselesaan buat penunggang dan pembonceng.

GAYA meter RT3 dengan enam pilihan warna.
GAYA meter RT3 dengan enam pilihan warna.

Cermin sisinya boleh dilipat dan dilaras. Pada masa sama, tuas breknya juga boleh dilaras mengikut kesesuaian pemilik.

Sedikit kekurangan ialah, ruang simpanan bawah tempat duduk 14 liter hanya boleh memuatkan sebuah topi keledar separuh, baju hujan dan sedikit barangan peribadi lain.

Tangki mengisi bahan api pada bahagian simpanan bawah pemegang kiri memungkinkan ia mudah tertumpah dan tempat meletak kaki pembonceng kurang selesa kerana saiz yang kecil.

Untuk pasaran Malaysia, WMoto RT3 ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Matte Grey, Glittery Blue dan Red pada harga RM15,188 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

Modenas Elegan 250 ABS

Skuter ini dilancarkan pada 2016 dan ia juga adalah generasi ketiga untuk Modenas Elegan yang kini dikuasakan dengan enjin 250cc.

Antara kelebihan skuter ini ialah, ia tampil dengan rekaan sporty dan diberi peningkatan ciri (facelift) pada November 2020.

MODENAS Elegan 250 ABS.
MODENAS Elegan 250 ABS.

Antara pembaharuan diberi ialah pada lampu hadapan projektor dan belakang LED serta lampu nyalaan siang (DRL).

Ia juga datang dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) hadapan dan belakang selain pengecas USB untuk mengecas telefon pintar atau alat peranti lain.

Rekaan pelana dengan ketinggian 755mm, ruang meletak dan unjuran kaki yang luas memberi keselesaan untuk perjalanan jauh.

Untuk enjin, ia masih mengekalkan 249.1cc, 4 lejang, silinder tunggal, dua injap, SOHC yang menjana 22.1 kuasa kuda (hp) pada 7,000rpm dan tork 22.4Nm pada 5,500rpm.

Pemilik Modenas Elegan 250 model terdahulu, Rudy Fazrunisyam Samarudin, 46, berkata, dia menggunakan jentera ini untuk berulang-alik ke tempat kerja dari Seremban, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur atau menyertai konvoi.

"Selain posisi menunggang yang selesa, ruang simpanan 27 liter yang praktikal membolehkannya memuatkan dua topi keledar (penuh dan separuh) dan barangan peribadi lain," katanya.

Namun katanya, dia mengharapkan model Elegan 250 ABS ini turut didatangkan dengan ciri kunci pintar dengan penghidup tanpa kunci seperti mana yang terdapat pada kebanyakan skuter maxi.

Penulis berkesempatan menunggang uji model ini di lebuh raya dan bandar. Pada kelajuan mencapai 110km/j, terasa sedikit gegaran namun tidak memberi kesan pada prestasi sehingga kelajuan maksimum sekitar 120km/j.

Ia mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 300km melalui isian penuh bahan api.

CIRI analog dan digital Elegan 250 ABS.
CIRI analog dan digital Elegan 250 ABS.

Untuk pasaran Malaysia, Modenas Elegan 250 ABS datang dengan pilihan warna Matte Satin Hitam dan Matte Satin Biru yang bakal menggantikan Matte Satin Merah seperti unit tunggang uji ini.

Ia dijual pada harga RM15,315 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

Yamaha XMax

Dilancarkan pada 2018, Yamaha XMax menerima sambutan hangat kerana ia bukan sahaja tampil dengan rekaan sporty malah dengan ciri prestasi.

Ia dikuasakan dengan enjin 250cc Blue Core, 4 lejang, silinder tunggal, empat injap, SOHC yang menawarkan 22.5 kuasa kuda (hp) pada 7,000rpm dan tork 24.3Nm pada 6,500rpm.

Rekaannya diinpirasikan daripada model skuter T-Max 530. Ia dilengkapi lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) serta lampu belakang LED.

YAMAHA XMax.
YAMAHA XMax.

Paparan meter gabungan analog dan digital dengan pelbagai maklumat berkaitan memudahkan penunggang untuk merancang perjalanan.

Ia juga datang dengan pemegang lebih lebar dan tinggi serta pelindung angin boleh laras manual.

Pada pandangan penulis, meskipun hadir dengan pelana dua bahagian dan yang paling tinggi (790mm) di antara ketiga-tiga skuter ini, namun Elegan 250 ABS dan RT3 lebih selesa kerana ia menawarkan permukaan yang lebih lembut.

Lampu pancaran tinggi yang tidak begitu jauh capaiannya pada waktu malam antara penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Namun kelebihan pada Yamaha XMax ialah daripada segi kapasiti muatan bawah tempat duduk yang luas.

Ia boleh memuatkan dua topi keledar penuh selain tunggangan yang responsif dan lancar pada sebarang kelajuan sehingga 140km/j.

Ia mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 350km melalui isian penuh bahan api, bergantung kepada corak tunggangan.

Untuk pasaran Malaysia, XMax ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Kelabu Matt, Biru Matt dan Perak Matt.

Ia dijual pada harga RM21,500 dengan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer, mana satu yang terdahulu.

PANEL meter XMax.
PANEL meter XMax.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga skuter maxi ini menawarkan kelebihan tersendiri.

RT3 menawarkan harga yang paling kompetetif selain dilengkapi ciri termaju termasuk tangki bahan api paling paling besar 17 liter dan enjin empat injap DOHC.

Elegan 250 ABS pula, pada sekitar harga yang sama dengan teknologi enjin pengeluar skuter termaju dunia iaitu Kymco, sudah terbukti ketahanan enjinnya.

Kelebihan lain ialah ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas dan rekaan lampu belakang 'X' bergaya.

XMax pula memiliki ciri-ciri yang hampir sama dengan Elegan 250 ABS.

SKUTER maxi 250cc.
SKUTER maxi 250cc.

Namun, kelebihannya, sebagai jenama motosikal Yamaha, ia memberikan pengalaman tunggangan yang sporty serta lancar tanpa gegaran ketara.

Namun, ia ditawarkan pada harga yang paling tinggi di antara tiga skuter ini.

Namun, pilihan sebenar adalah ditangan pengguna. Model mana yang sesuai dengan bajet dan citarasa serta tujuan tunggangan.

Apa yang penting, selain pembelian motosikal ialah khidmat selepas jualan yang berkualiti dan harga alat ganti yang berpatutan serta mudah didapati.

POSISI menunggang santai.
POSISI menunggang santai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 6:10 AM