PROGRAM Konvoi Motosikal E.R.A.T Ride EAIC 2023.
PROGRAM Konvoi Motosikal E.R.A.T Ride EAIC 2023.
Lizam Ridzuan


Lebih 90 penunggang motosikal daripada pelbagai agensi penguatkuasaan menyertai acara Program Konvoi Motosikal E.R.A.T (Encouraging Responsibility, Accountability, Trusworthiness) Ride EAIC.

Anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), ia melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Turut menyertai ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ahli-ahli Kelab Motosikal Yamaha MT-15 (Lembah Klang), Kelab Sehati Sejiwa (Triple S) dan warga kerja suruhanjaya itu.

Acara pelepasan disempurnakan Pengarah Operasi EAIC, Mohd Asnawi Abu Hanipah di Menara Usahawan, Putrajaya dan konvoi menuju ke Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Program ini dirancang lebih sebulan lalu juga melalui kawasan R&R Beranang, Petronas Ampangan 2, Perkampungan Budaya Terachi dan Muzium Diraja Seri Menanti.

Perjalanan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), marshal kelab motosikal MT15 Lembah Klang dan Triple S serta Pengurusan Pengoperasian Tol Lebuhraya Kajang-SILK Bhd dan Lebuhraya LEKAS.

Menurut Asnawi, konvoi ini julung kali dianjurkan EAIC dalam membawa mesej dan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat agar menjauhi salah laku dan bersama-sama membendung ketirisan integriti perkhidmatan awam.

LEBIH 90 penunggang turut serta.
LEBIH 90 penunggang turut serta.

"Selain itu program ini selaras dengan matlamat EAIC merakyatkan khidmat dan peranannya kepada pelbagai lapisan masyarakat serta mengukuhkan lagi sokongan terhadap usaha Kerajaan memerangi salah laku penguat kuasa dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap akauntabiliti serta mutu integriti perkhidmatan awam," katanya.

Program dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Pilah dan Jabatan Penerangan Malaysia membawakan aktiviti kaunter pameran interaktif oleh AADK, JPN, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Juga diadakan Jualan Rahmah, Demonstrasi Masakan, Kesenian dan Kebudayaan Luak oleh Jabatan Muzium Malaysia dan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.

Ia turut dihadiri Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap dan 250 penduduk tempatan termasuk ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, pegawai dan kakitangan agensi awam, badan bukan Kerajaan serta pelajar sekolah.

Selain itu ada penglibatan murid sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Laksamana Nasir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin dan Madrasah Maahad Tahfiz Darul Quran Tuanku Jaafar yang dijemput sebagai tetamu.

SINGGAH di Sri Menanti, Negeri Sembilan.
SINGGAH di Sri Menanti, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 6:46 AM