Muhammad Zuksyamini Sufian Suri

Ipoh: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sentiasa telus dan berlaku adil kepada kedua-dua pihak iaitu pengadu dan pegawai agensi penguatkuasaan yang dilaporkan.

Setiap aduan akan diteliti mengikut peruntukan Akta yang ada dan akan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis iaitu 'without fear and favor' (tanpa takut dan pilih kasih.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Setiausaha EAIC Norhayati Ahmad berkata, penekanan akan diberikan mengenai objektif dan matlamat EAIC yang sering kali disalah tafsir oleh masyarakat umum khususnya dalam kalangan anggota penguat kuasa sendiri iaitu kononnya penubuhan EAIC adalah bagi mencari kesalahan atau membuka aib seseorang pegawai penguat kuasa sesuatu agensi penguatkuasaan.

"Penubuhan EAIC yang sebenarnya harus dilihat sebagai sebuah medium membantu anggota penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan dalam pemantapan integriti dan meningkatkan mutu akauntabiliti dalam institusi penguatkuasaan di negara ini.

"Setiap aduan yang diterima akan dinilai dan dikaji dengan teliti, sekiranya berasas ia akan disiasat dengan terperinci.

"Persekitaran masa kini yang amat dinamik menuntut kami di EAIC memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan menitik beratkan kepantasan bekerja, ketelitian dan akauntabiliti dalam memenuhi kehendak pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis E.R.A.T. bersama Masyarakat Zon Utara di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

AHMAD Suaidi (tiga kiri) beramah mesra dengan Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Nasrul (kanan) sambil diperhatikan Norhayati (dua kiri) pada Program E.R.A.T EAIC bersama Masyarakat Peringkat Zon Utara di Dewan Bankuet SUK dekat Ipoh. FOTO L. Manimaran
AHMAD Suaidi (tiga kiri) beramah mesra dengan Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Nasrul (kanan) sambil diperhatikan Norhayati (dua kiri) pada Program E.R.A.T EAIC bersama Masyarakat Peringkat Zon Utara di Dewan Bankuet SUK dekat Ipoh. FOTO L. Manimaran

Menurut Norhayati, selain daripada peranan teras mengenai penerimaan aduan dan siasatan terhadap kes-kes salah laku anggota penguat kuasa, EAIC turut diberikan mandat merumuskan perundangan, mengesyorkan penambahbaikan tatacara dan prosedur pentadbiran dalam menggalakkan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan seliaannya.

Norhayati berkata, EAIC menerima 653 aduan integriti terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya seluruh Malaysia sejak awal tahun ini sehingga 5 Disember lalu.

Katanya, daripada komposisi itu ia merangkumi 467 atau 70 peratus aduan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 37 aduan (enam peratus) aduan membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan 11 aduan (dua peratus) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Selain itu, sembilan aduan atau satu peratus aduan membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan 141 (21 peratus) aduan membabitkan agensi penguatkuasaan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:10 PM