PERLU perancangan rapi supaya perjalanan lancar dan bebas  insiden tak diingini.
PERLU perancangan rapi supaya perjalanan lancar dan bebas insiden tak diingini.

Aktiviti menunggang motosikal diakui sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi jika dilakukan secara berkumpulan. Lebih menyeronokkan jika tunggangan membabitkan jarak jauh melalui pelbagai kawasan dengan pemandangan indah dan menarik.

Namun, dalam apa jua aktiviti yang dilakukan mesti mempunyai perancangan yang rapi supaya perjalanan lancar dan bebas daripada insiden tidak diingini sama ada membabitkan aspek penunggang itu sendiri atau jentera.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh diberi perhatian kepada anda yang berkira-kira untuk melakukan perjalanan jauh dengan menunggang motosikal.

Periksa motosikal

Dalam memastikan tunggangan yang lancar dan selamat, maka kita wajib membuat pemeriksaan ke atas jentera yang boleh dilakukan sendiri atau ke bengkel. Komponen penting yang perlu diperiksa ialah tayar, bateri, minyak hitam, brek, rantai/belt, lampu dan enjin dalam keadaan baik.

Jangan ambil mudah kondisi jentera kerana sekiranya berlaku kerosakan di tengah perjalanan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada kita, malah rakan-rakan lain turut menerima tempiasnya apabila kena 'sidai' tepi jalan.

Siapkan mental, fizikal & rehat secukupnya

Satu perkara yang penting untuk melakukan 'ride' jauh ialah ketahanan mental dan fizikal penunggang kerana perjalanan yang jauh dalam masa yang lama pastinya meletihkan. Keletihan akan membuatkan penunggang atau pemandu mudah hilang fokus dan jika ini berlaku kesannya amat besar malah mengundang kecelakaan.

Oleh itu anda perlu rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan jauh. Tahu had diri, jangan sesekali teruskan tunggangan jika letih atau mengantuk. Berhenti dan rehat seketika sebelum teruskan perjalanan.

Tunggangan yang selamat ialah yang santai dan dan tidak terburu-buru. Oleh itu anda digalakkan kerap berhenti rehat antara tiga hingga lima kali. Ia juga bagi menyejukkan enjin motosikal dan memastikan ia tidak rosak.

Simpan nombor kecemasan

Bawa dan simpan nombor penting yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika menunggang, terutama nombor telefon keluarga terdekat dan rakan rapat jika anda melakukan tunggangan secara solo.

Penting juga nombor itu disimpan pada tempat yang mudah dicari seperti pada jaket keselamatan, kunci motosikal atau pada mana-mana bahagian motosikal anda.

Bawa duit mencukupi & dokumen penting

Duit yang mencukupi juga penting, manalah tahu jika tiba-tiba jentera kita mengalami masalah dan perlu dihantar ke bengkel. Selain wang untuk minyak, makan minum dan penginapan, sediakan duit untuk kecemasan.

Penting juga sebelum memulakan perjalanan anda memeriksa dokumen penting diri anda dan dokumen motosikal seperti kad pengenalan, lesen memandu, perlindungan insurans dan cukai jalan yang sah. Jadi sekiranya jumpa sekatan jalan raya pihak berkuasa tidaklah cuak sangat.

Kelengkapan & peralatan tambahan

Jangan lupa bawa kelengkapan dan peralatan mencukupi seperti baju hujan, sarung tangan, pemutar skru, spanar, pam angin tayar, spray pengedap tayar (tyre sealer), set penyumbat tayar dan alatan tambahan lain yang difikirkan perlu.

Bagi anda yang perlu mengambil ubat-ubatan setiap hari, jangan lupa bawa bekal ubat.

Pakai pakaian sesuai

Mengenakan pakaian yang cerah juga penting supaya pemandu kenderaan lain nampak penunggang motosikal terutamanya jika kita terpaksa menunggang pada waktu malam.

Elakkan memakai riding jaket atau baju gelap. Seeloknya pakai vest yang memantulkan cahaya. Selain itu, gunakan topi keledar yang mempunyai visor dan sentiasa memakai kasut yang sesuai dan selesa.

Waspada dengan haiwan melintas

Satu situasi yang paling ditakuti penunggang motosikal ketika menyertai konvoi ialah apabila haiwan dan kadang-kadang manusia yang tiba-tiba melintas.

Amat merbahaya untuk lalui kawasan yang aktif dengan haiwan yang melintas. Sentiasa berwaspada dengan haiwan yang melintas jalan atau pun yang berada di tengah jalan raya.

Jangan tunggang dengan laju dan peka dengan papan tanda yang dipasang.

Rancang perjalanan

Dalam melakukan konvoi atau ride solo, aspek perancangan amat penting. Anda perlu rancang laluan yang akan digunakan dan merancang masa yang sesuai. Seboleh-bolehnya elak menunggang pada waktu malam kerana ketika itu risiko kepada penunggang motosikal amat tinggi.

Tetapkan masa dan jarak tunggangan sebelum berehat atau bermalam. Jangan di atas motosikal terlalu lama kerana manusia dan jentera juga perlukan rehat untuk memberikan prestasi yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 6:18 AM