Nurul Husna Mahmud

Kenderaan taktikal ringan atau dikenali juga sebagai kenderaan utiliti tentera ringan merujuk kepada kategori jentera ketenteraan kelas berat paling ringan mirip pacuan empat roda bagi tugas ketenteraan.

Model turut dipanggil LUV (Light Utility Vehicle) ini biasanya lebih ringan atau kompak berbanding aset mobiliti di medan dengan kapasiti ideal.

Ia biasanya membabitkan keperluan untuk empat penumpang.

Jika merujuk kepada penghasil kenderaan taktikal ringan ini, sebenarnya paling kerap digunakan adalah 'Humvee' iaitu singkatan daripada 'High Mobility Multipurpose Wheeled Vehicle' yang dihasilkan syarikat AM General di Amerika Syarikat.

Kenderaan taktikal ini penting untuk menggalas pelbagai tugasan termasuk sebagai kenderaan pasukan risikan selain kenderaan pengendalian senjata seperti mesingan dan mortar.

Kriteria utama dalam rekaan kenderaan utiliti tentera ringan ini membabitkan mobiliti tinggi dan sesuai dengan bentuk muka bumi seperti bentuk muka bumi Malaysia.

Mengambil kira aspek itu, syarikat automotif Bumiputera, Cendana Auto Sdn Bhd, mengambil inisiatif menghasil dan mengeluarkan kenderaan taktikal ringan untuk kegunaan pasukan keselamatan negara melalui pembiayaan sendiri.

Pengarah bersama Cendana Auto Sdn Bhd Abdul Rauf Nassiruddin berkata, ketika ini, pihaknya sudah membekalkan empat varian kenderaan 4X4 berkenaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Ia membabitkan SF-21X, 'Fitted For Radio' (FFR), Kenderaan Medan Taktikal Bersenjata (Artac) dan Pengangkut Mortar (MT-815).

KENDERAAN taktikal ringan dihasilkan anak tempatan.
KENDERAAN taktikal ringan dihasilkan anak tempatan.

"Setiap model dihasilkan melalui proses penilaian ketat termasuk setiap prototaip diuji sebelum proses pembinaan menyeluruh dijalankan.

"Spesifikasinya juga perlu sesuai dengan tahap ketahanan kegunaan taktikal yang ekstrem. Kecuali enjin dan casis, semua komponen dihasilkan dari awal hingga akhir menggunakan kepakaran tempatan menerusi kerjasama dengan vendor tempatan," katanya.

Menurut Abdul Rauf, rekaan, data dan teknologi juga dihasilkan Cendana Auto Sdn Bhd dengan sokongan 100 kakitangannya yang profesional serta terlatih.

Secara keseluruhan, kata Abdul Rauf, 80 peratus komponen kenderaan menggunakan komponen tempatan.

ABDUL Rauf di hadapan sebuah kenderaan kegunaan tentera.
ABDUL Rauf di hadapan sebuah kenderaan kegunaan tentera.

"Kapasiti dan kemampuan setiap varian kenderaan taktikal ringan ini direka untuk mampu bertahan dalam lapangan ekstrem.

"Model ini mampu menyusuri trek kecerunan sehingga 35 peratus dan boleh menempuh halangan berair sehingga kedalaman 0.75 meter.

"Malah, ia masih boleh memarkir dengan selamat pada teres 60 hingga 70 peratus (bergantung kepada varian kenderaan)," katanya.

Menurut Abdul Rauf, reka bentuk kenderaan juga berubah mengikut fungsi dan terdapat perbezaan pada sektor tertentu pada kenderaan bagi memberi kelebihan ketika pengendalian tugas tertentu.

PEMOTONG dawai menjadi ciri unik pada model SF-21X.
PEMOTONG dawai menjadi ciri unik pada model SF-21X.

"Contoh, model SF-21X direka bagi memenuhi keperluan unit operasi khas. Badan model ini membabitkan hanya besi kerangka tahan lasak dan lebih ringan, ia memberi kelebihan untuk penggunaan mobiliti intensiti tinggi.

"Model ini juga mampu menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer dengan isian tangki penuh," katanya.

Bagi varian Fitted For Radio, ia merujuk kepada fungsinya sebagai medium komunikasi.

Disebabkan itu, spesifikasi pendawaian, peralatan elektronik dan sistem pengurusan kuasanya setara dalam membantu mengoptimumkan fungsi ketika operasi.

Turut dilengkapi dalam model ini adalah pelbagai format saluran radio.

Difahamkan, varian Fitted For Radio juga digunakan Malaysia Battalion (MALBATT) untuk misi pengaman di Lubnan.

FFR digunakan Malbatt dalam misi baru-baru ini.
FFR digunakan Malbatt dalam misi baru-baru ini.

Bagi varian Artac, ia mampu melindungi, membawa isian senjata dan fungsi lain ketika berada di medan.

"Ia memiliki ketahanan tinggi, cukup stabil untuk perjalanan membabitkan pelbagai jenis trek dan mudah diselenggara.

"Ia juga boleh dipindahkan menerusi darat, air atau udara. Bahagian jurusenjata pula boleh dilaras untuk memudahkan tugas ketika ia dipindahkan," katanya.

Bagi MT-815, ia direka dengan ciri optimum bagi memenuhi keperluan operasi ketenteraan.

Ia bersifat ergonomik dan praktikal dengan ruang penyimpanan itu boleh dipelbagaikan fungsi seperti dijadikan tempat duduk tambahan untuk anggota atau sebagai tempat simpanan barangan serta senjata.

MODEL MT815 turut memiliki pelbagai fungsi penting.
MODEL MT815 turut memiliki pelbagai fungsi penting.

Sementara itu, Pengarah Cendana Auto Sdn Bhd Saiful Izhar Senawi berkata, pihaknya sebelum ini terbabit dalam kerja membaik pulih aset ketenteraan dan anggota keselamatan sebelum mengambil inisiatif menghasilkan model kenderaan taktikal ringan yang menepati keperluan ATM.

"Inovasi untuk menghasilkan model kenderaan taktikal ringan daripada sifar dijalankan oleh anak tempatan.

"Penghasilan kenderaan ini melalui proses perbincangan terperinci dengan pihak ATM bagi memastikan kenderaan yang dihasilkan memenuhi segala keperluan operasi. Ini antara kelebihan yang diperoleh apabila kenderaan ini dibangunkan sendiri oleh anak tempatan.

"Penting untuk pasukan keselamatan memiliki aset dihasilkan daripada kepakaran anak tempatan memandangkan aset ini juga memiliki tahap kerahsiaan tinggi," katanya.

Menurut Saiful Izhar, pihaknya turut bangga kerana semua tenaga kerja Cendana Auto Sdn Bhd diambil daripada program pendidikan tempatan seperti universiti teknikal tempatan dan program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

SAIFUL (tengah) bersama pasukan pengurusan syarikat ketika pameran berkaitan.
SAIFUL (tengah) bersama pasukan pengurusan syarikat ketika pameran berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 6:30 AM