GAYA SUV kompak ranggi.
GAYA SUV kompak ranggi.
Lizam Ridzuan


"MANTAP tak", "kereta best tak", "cantiklah tengok kereta ni depan-depan," itu antara reaksi orang ramai yang melintasi Perodua Ativa Serba Baharu setiap kali ia diparkir.

Itu impak kenderaan ini yang dilancarkan baru-baru ini. Perodua Ativa Serba Baharu ini adalah barisan model terkini jenama Perodua dalam pasaran tempatan.

Tiga varian ditawarkan iaitu X, H dan AV. Ia bukan saja tular sejak setahun lalu di negara ini, malah ketika penulis ke Tokyo Motor Show 2019, model ini membuat penampilan pertamanya di ruang pameran Daihatsu sebagai rakan teknikal dan teknologi Perodua.

Vroom minggu ini berpeluang memandu uji model Perodua Ativa daripada varian tertinggi (AV) yang sedang 'panas' dengan tempahan melebihi 5,000 unit ketika ini untuk menilai prestasi dan teknologi yang ditawarkan.

Melihat kepada rekaan luaran, ia menampilkan gaya kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak dan ramai mengatakan ia iras Mini Countryman.

Ia diasaskan daripada model Daihatsu Rocky serta Toyota Raize dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga pertama kali dipasang untuk model Perodua.

SPOILER pintu belakang tampil sporty.
SPOILER pintu belakang tampil sporty.

Pada bahagian hadapan, ia dilengkapi gril kemasan krom dan hitam.

Lampu utamanya lengkap dengan fungsi pancaran cahaya tinggi automatik manakala lampu kabus termasuk lampu belakang adalah daripada LED.

Sebagai varian tertinggi, ia didatangkan dengan warna luaran dua tona metalik dan bumbung hitam, pembuka pintu krom dan padanan rim aloi 17 inci serta tayar Bridgestone Turanza T005A.

Menambah gaya, ia turut dihiasi 'Wheel Arch' padanan hitam termasuk pada bahagian bampar dan sisi.

PAPAN pemuka dengan elemen krom, gelap dan merah.
PAPAN pemuka dengan elemen krom, gelap dan merah.

Pintu but belakang didatangkan dengan spoiler bumbung yang bersepadu dengan lampu brek ketiga.

Melihat ke ruang dalaman, ia dipadankan dengan kemasan hitam, krom dan merah.

RUANG kabin praktikal.
RUANG kabin praktikal.

Papan pemukanya disertakan dengan sistem infotainmen 'terapung' bersaiz 9 inci skrin sesentuh dengan fungsi radio, paparan kamera undur, ketersambungan telefon, pemain mp3 dan sistem pengecaman suara.

Ia juga lengkap dengan butang pendingin udara indikasi digital, dua pengecas USB, HDMI dan soket kuasa pada konsol tengah.

SELESA dengan unjuran kaki dan kepala yang luas.
SELESA dengan unjuran kaki dan kepala yang luas.

Untuk pemandu, ia didatangkan dengan meter TFT bersaiz 7 inci digital penuh.

Selain maklumat lengkap perjalanan, penggunaan bahan api, tahap bahan api, speedometer dan odometer, meter ini juga boleh diubah rekaan dengan empat pilihan.

Roda stereng lengkap dengan balutan kulit. Ia datang dengan pelbagai butang fungsi termasuk larasan enam pembesar suara, menjawab telefon dan fungsi pelayaran adiptif.

Untuk penumpang, ruang unjuran kaki dan kepala cukup selesa. Ia juga dipasang antaranya dengan butang penghidup enjin, tuil gear kemasan krom, brek tangan selain indikasi peringatan pemakaian tali pinggang keledar setiap penumpang.

PEMAIN multimedia dan pendingin hawa ciri digital.
PEMAIN multimedia dan pendingin hawa ciri digital.

Varian ini turut dilengkapi perakam video digital (DVR) bersepadu dan cermin tingkap dipasang filem penapis haba.

But berpenutup boleh lipat dengan dua tahap pelantar boleh ubah daripada 303 liter kepada 369 liter membolehkan lebih muatan dibawa.

ENJIN 1.0 liter Turbo.
ENJIN 1.0 liter Turbo.

Untuk pemanduan, Perodua Ativa ini didatangkan dengan enjin 998cc turbo tiga silinder dan ia adalah yang pertama untuk jenama ini.

Ia menawarkan kuasa 98PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 140Nm pada 4,000 rpm dengan transmisi 7 kelajuan automatik Transmisi Boleh Ubah (D-CVT) dan pilihan manual.

PANEL meter TFT digital penuh.
PANEL meter TFT digital penuh.

Melalui pengalaman memandu beberapa hari bersama Ativa, kuasa yang dihasilkan bukan sahaja responsif malah ia yang dipacu roda hadapan (FWD) mampu mencapai kelajuan tinggi dengan cukup pantas.

Pengendalian pada kelajuan sederhana atau tinggi kekal stabil dan tepat pada laluan namun terasa sedikit ringan terutama ketika melalui lebuh raya beralun.

Ia juga sesuai untuk kegunaan dalam bandar kerana saiznya yang kompak.

Mudah untuk melepasi laluan sempit atau urusan parkir dengan radius pusingan 5.1 meter.

Paling menarik, meskipun dipandu pada kelajuan tinggi untuk tempoh yang konsisten, penggunaan bahan api sangat efisien.

Tidak hairan jika Ativa menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV), Ia pengiktirafan yang kelima untuk model Perodua.

Sepanjang sesi pandu uji, SUV kompak ini mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 11.7 kilometer (km) untuk setiap liter dan jarak perbatuan sehingga 350km dengan tangki bahan api 36 liter.

Secara keseluruhan, Perodua Ativa Serba Baharu yang menawarkan ciri termaju pada harga di bawah RM72,000 ini adalah pilihan yang berbaloi.

Sesuai buat mereka yang berjiwa aktif dan gemarkan aktiviti hujung minggu, ia boleh melalui laluan denai atau lasak sederhana tanpa masalah.

Ativa juga didatangkan dengan teknologi terkini menerusi Pemanduan Autonomi Tahap 2 serta Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0. Ia adalah ciri standard untuk semua varian.

Ia berfungsi pada kelajuan tinggi sehingga 120 kilometer sejam (km/j) dan sehingga 60km/j untuk pejalan kaki.

Ia kini boleh mengesan kenderaan dua roda serta berfungsi pada waktu malam.

Ciri lain ASA antaranya ialahg Amaran Pra-Pelanggaran (PCW), Sistem Brek Pra-Perlanggaran (PCB) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak.

Sistem keselamatan asas pula antaranya ialah enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Pengagihan Brek Elektronik (EBD).

Untuk pilihan warna, varian AV datang dengan merah mutiara delima dan putih mutiara delima serta bumbung hitam.

Varian H dan X pula datang dengan pilihan warna sama tanpa dua tona dengan tambahan warna biru cobalt, kelabu granite dan perak glittering.

Untuk pasaran Malaysia, Perodua Ativa 1.0L Turbo dijual pada harga RM61,500 (X-Metalik), RM66,100 (H-Metalik), RM66,600 (H-Metalik Istimewa), RM71,200

(AV-Metalik), RM71,700 (AV-Metalik Istimewa) dan RM72,000 (AV-Bumbung Hitam).

Ia disertakan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 7:01 AM