QASHQAI Serba Baharu
QASHQAI Serba Baharu
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Walaupun model ini tidak termasuk dalam radar pasaran tempatan, ia adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menawarkan rekaan serta teknologi termaju.

Nissan Qashqai Serba Baharu diperkenalkan untuk pasaran Eropah pada Februari lalu. Ia tampil lebih sporty dan futuristik.

Model ini mula diperkenalkan pada 2007 dan sudah terjual lebih tiga juta unit di UK .

Ia kini dibina di atas platform kesatuan baharu CMF-C yang menyokong peningkatan teknologi pada model ini.

Rekaan untuk generasi ketiga Qashqai tampil sangat menyerlah dengan rekaan yang elegan. Ia dihasilkan di Studio Rekaan Nissan di London, United Kingdom (UK).

Meneruskan kedudukan sebagai pendahulu segmen SUV segmen C di sana, bentuknya kali ini lebih bersegi, tajam dan moden.

 QASHQAI generasi pertama.
QASHQAI generasi pertama.

Bentuk luaran dengan jarak roda bertambah 20 milimeter (mm), panjang keseluruhan (+35mm), ketinggian (+25mm) dan kelebarannya turut bertambah 32mm daripada generasi terdahulu.

Bagi menyerlahkan ciri lebih sporty. ia dipadankan dengan rim aloi 20 inci yang pertama kali dipasang pada model ini.

Ia dilengkapi gril V-Motion krom yang besar dengan lapisan kedua krom satin.

Ia diapit dengan lampu hadapan LED penuh tirus dan lampu nyalaan siang (DRL) bentuk boomerang.

Nissan Qashqai ditawarkan dengan 16 pilihan warna termasuk lima kombinasi dua-tona.

Sebagaimana luaran, ruang kabin juga menetapkan tahap lebih tinggi dalam segmennya dengan sentuhan, gaya dan rekaan lebih premium.

GENERASI kedua Qashqai.
GENERASI kedua Qashqai.

Lampu suasana memainkan peranan pada keseluruhan bahagian yang memberi bayangan mewah dan harmoni.

Sistem infotainmen dilengkapi NissanConnect skrin sesentuh bersaiz 9 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay serta Android Auto dengan sambungan tanpa wayar.

Untuk pemandu, ia dilengkapi paparan meter digital TFT bersaiz 12.3 inci untuk pelbagai maklumat dengan susun atur navigasi, hiburan, trafik dan maklumat kenderaan yang boleh dikawal pada butang dail 'tactile' di roda stereng.

Untuk sentuhan DNA tradisional Jepun, pada bahagian latar belakang meter itu, ia dipadankan corak potongan kaca 'kiriko'.

Fokus dan tumpuan lebih baik pada pemandu bertambah dengan Paparan Head-Up (HUD) bersaiz 10.8 inci.

RUANG kabin mewah.
RUANG kabin mewah.

Selain ciri teknologi, ia direka dengan pandangan luaran lebih baik melalui cermin hadapan lebih luas, tiang-A lebih kecil dan cermin sisi yang dipasang pada pintu.

Sebagai SUV, ciri praktikal terbaik juga ditawarkan dengan ruang but bertambah 50 liter daripada model generasi terdahulu, dengan bahagian lantai kargo yang boleh direndahkan sehingga 20mm.

Untuk pemanduan, Nissan Qashqai Serba Baharu ini ditawarkan dengan enjin 1.3 DiG-T petrol yang dilengkapi teknologi hibrid ringan (mild).

Ini pertama kali sistem e-Power diperkenalkan di pasaran Eropah.

Ia adalah trenkuasa yang dibangunkan untuk model Nissan Leaf iaitu kenderaan elektrik sepenuhnya untuk jenama itu.

Kelebihan enjin ini, ia menawarkan lebih kuasa dan tork serta pengeluaran gas karbon dioksida (CO2) lebih rendah serta hanya tambahan 22kg daripada berat keseluruhan kenderaan.

ENJIN 1.3 liter hibrid mild.
ENJIN 1.3 liter hibrid mild.

Model Qashqai ditawarkan menerusi pilihan pacuan dua roda (2WD) dan pacuan empat roda (4WD) serta transmisi automotik Xtronic atau enam-kelajuan manual.

Menerusi enjin 1.3 liter petrol hibrid mild, ia menawarkan dua kuasa kuda (hp) iaitu 138hp dan 156hp pada 5,500 rpm untuk manual dan Xtronic, kuasa tork 240Nm, 260Nm dan 270Nm untuk Xtronic pada 1,750 rpm.

Untuk versi 4WD, ia ditawarkan dengan mod pemanduan Standard, ECO, Sport, Snow dan Off-Road.

Untuk enjin 1.5 liter e-Power, ia hanya ditawarkan menerusi pacuan 2WD dengan janaan motor elektrik menjadikan kuasa keseluruhan 187hp dan tork 330Nm .

Menerusi e-Pedal, pecutan dan brek boleh dilakukan dengan hanya satu pedal seperti yang terdapat pada model Leaf.

REKAAN hadapan ciri signatur Nissan.
REKAAN hadapan ciri signatur Nissan.

Qashqai juga datang dengan Mobiliti Pintar Nissan melalui bantuan pemandu ProPILOT menerusi Navi-link iaitu sistem yang direka bagi mengurangkan kelesuan dan tekanan ketika memandu (hanya untuk varian tranmsisi Xtronic)

Sistem ini juga membolehkan kenderaan dipandu memecut dan membrek ketika sistem pelayaran diaktifkan.

Ia termasuk kelajuan mengikut situasi. Ia juga akan memberhentikan kenderaan pada kelajuan sifar serta bergerak semula selepas itu secara automatik selepas kenderaan hadapan bergerak.

CIRI praktikal ruang dalaman.
CIRI praktikal ruang dalaman.

Secara keseluruhan, model ini antara yang popular di Eropah dengan ciri SUV untuk keluarga serta ciri termaju yang ditawarkan.

Jika memasuki pasaran tempatan, ia adalah model yang sama segmen dengan Nissan X-Trail namun pada harga yang lebih premium.

Terdapat enam pilihan varian yang ditawarkan di Eropah iaitu Visia, Acenta Premium, N-Connecta, Tekna dan Tekna+.

Harga jualan Nissan Qashqai Serba Baharu di UK bermula daripada £23,535 (kira-kira RM136,473) sehingga £37,835. (kira-kira RM219,394).

BENTUK lebih moden dan dinamik.
BENTUK lebih moden dan dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:15 AM