Lizam Ridzuan

Model sedan saiz pertengahan premium ini diperkenalkan menerusi siri 190 pada 1982 sebagai model permulaan untuk segmen kenderaan mewah mereka.

Ia kemudian digantikan dengan model Mercedes-Benz C-Class. Sejak 1993, ia sudah terjual lebih 10.5 juta unit di seluruh dunia dan menjadi model paling laris untuk lebih 10 tahun sehingga kini buat jenama pengeluar kenderaan dari Jerman itu.

Tidak terkecuali, di Malaysia, model C-Class juga mendapat sambutan baik dan untuk itu, Mercedes-Benz C-Class Serba Baharu generasi kelima dilancarkan ke pasaran tempatan menerusi dua varian iaitu C 200 Avantgarde Line dan C 300 AMG Line.

Vroom turut berpeluang memandu uji varian C 200 baru-baru ini.

Melihat kepada rekaan luaran, ia mengekalkan rekaan atau 'DNA' asalnya seperti bahagian hadapan lebih pendek (short-overhang), jarak antara roda lebih panjang dan 'rear-overhang' belakang.

Rekaan bonet juga tampil 'sporty' dengan dua garis lengkungan pada tengah.

Cermin hadapan dan kabin penumpang juga dianjakkan ke belakang ala gaya klasik 'cab-backward design'.

Ia diserlahkan lagi dengan rim aloi lima jejari bersaiz 18 inci.

Gril radiator dengan logo bintang Mercedes-Benz serta kemasan aluminium dan krom tambah menyerlah dengan suspensi rendah.

Bahagian belakang diserlahkan dengan rekaan lampu baharu yang julung kali diperkenalkan dengan dua bahagian pada sisi dan pada penutup but.

Kabin kereta ini paling menonjol. Ia didatangkan dengan ciri serba baharu terutama pada papan pemukanya yang seakan-akan sayap dan corong pendingin hawa ala konsep enjin kapal terbang.

Sistem infotainmen bersaiz 11.4 inci skrin sesentuh menegak yang diserongkan enam darjah amat sesuai untuk pemandu.

MERCEDES-BENZ C 200 Avantgarde Line kekal gaya tampil kemasan terkini.
MERCEDES-BENZ C 200 Avantgarde Line kekal gaya tampil kemasan terkini.

BAHAGIAN belakang diperbaharui.
BAHAGIAN belakang diperbaharui.

Kedudukan yang menegak itu memberikan kelebihan untuk sistem navigasi yang lebih luas paparannya.

Ia juga datang dengan fungsi pengimbas cap jari tangan bagi memudahkan ketetapan mengikut individu yang memandu (terhad kepada dua sahaja) yang terletak di bawah paparan tengah.

Untuk pemandu, tersedia paparan meter bersaiz 12.3 inci dengan butang fungsi, tuil gear dan lampu isyarat selain pedal tangan.

Pada bahagian cermin belakang, ia dilengkapi tirai cahaya yang boleh diturunkan secara automatik.

Lampu suasana dengan 64 pilihan warna menyerlahkan keperibadian dan 'mod' pemilik.

Meter pemandu boleh diubah kepada gaya Discreet, Sporty, dan Classic.

Selain itu juga, ia dilengkapi dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menawarkan pengalaman kabin lebih digital dan pintar dengan fungsi keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Terdapat empat slot pengecas USB-C bagi kemudahan kepada keseluruhan penumpang.

Menyentuh aspek prestasi jentera dengan transmisi 9G-Tronic ini, ia didatangkan dengan enjin 1,496cc empat silinder pengecas turbo DOHC yang menjana 204 kuasa kuda (hp) 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 300Nm pada 1,800 hingga 4,000rpm.

Menerusi fungsi 'integrated starter-generator' (ISG) generasi kedua menggunakan bateri 48 voltan, ia menambah kuasa 15kW dan tork 200Nm bagi bantuan pintar enjin pada kelajuan rendah ciri 'mild'-hibrid.

Mercedes-Benz buat pertama kalinya menggabungkan semua inovasi keluarga enjin modular empat dan enam silinder petrol dan diesel dalam satu enjin.

Sistem ini juga menghidupkan enjin dengan lebih pantas dan senyap serta fungsi 'start'/'stop' seakan tidak terasa hasil interaksi pintar di antara ISG dan enjin.

KABIN ciri teknologi seakan S-Class.
KABIN ciri teknologi seakan S-Class.

METER pemandu digital sepenuhnya.
METER pemandu digital sepenuhnya.

PENUMPANG selesa.
PENUMPANG selesa.

Pemanduan jentera ini sememangnya cukup berprestasi di jalan raya dengan mod pemanduan yang tersedia.

Kawalan kereta dengan sistem suspensi hadapan dan belakang Multi-Link ini juga mantap pada pelbagai kelajuan.

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 246 kilometer/sejam (km/j) dan daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 7.3 saat.

Ciri lain yang terdapat pada model ini ialah kerusi hadapan elektrik, kawalan suhu automatic Thermatic, pengecas telefon tanpa wayar, panel sil pintu bercahaya dan pintu but kawalan jauh.

Sistem keselamatan dengan tujuh beg keselamatan selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), bantuan titik buta aktif dan bantuan brek aktif memberi faedah tambahan buat kereta ini.

Secara keseluruhan, ia adalah sedan eksekutif pacuan roda belakang yang menawarkan rekaan terkini dan kabin premium.

Enjin teknologi baharunya menawarkan kuasa dan bahan api lebih efisien. Menerusi tangki bahan api 50 liter, ia mampu mencapai sehingga 600km, bergantung kepada corak pemanduan dan faktor permukaan jalan raya.

Untuk pasaran Malaysia Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line dijual pada harga RM288,334 (atas jalan tanpa insurans).

SPESIFIKASI

Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line

Enjin: 1,496cc empat silinder pengecas turbo DOHC

Transmisi: 9G-Tronic

Kuasa maksimum: 204 kuasa kuda (hp) 5,800 hingga 6,100rpm

Tork maksimum: 300Nm pada 1,800 hingga 4,000rpm

Kapasiti tangki petrol: 50 liter

Kelajuan maksimum: 246km/j

Ciri keselamatan: Tujuh beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), bantuan titik buta aktif, bantuan brek aktif, pakej pengesan laluan, sistem pemantauan tekanan tayar dan bantuan parkir aktif dengan Parktronic.

Harga: RM288,334 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 7:00 AM