Mercedes-Benz GLB  bukan sekadar rupa
Mercedes-Benz GLB bukan sekadar rupa
Lizam Ridzuan


KENDERAAN utiliti sukan (SUV) G-Class yang juga model Mercedes-Benz GLB Serba Baharu dan kini menjengah pasaran tempatan tampil dengan elemen reka bentuk 'boxy' seakan-akan 'Godfather'.

Ia bukan sekadar rupa malah hadir dengan ciri premium dan lasak, gaya maskulin serta kemasan eksklusif.

Hadir dengan tiga baris tempat duduk, Mercedes-Benz GLB Serba Baharu menyediakan ruang yang luas dan selesa untuk tujuh penumpang.

Tiga varian dengan pilihan enjin iaitu 1.3 liter dan 2.0 liter pengecas turbo ditawarkan kepada pelanggan.

Ia membabitkan Mercedes-Benz GLB 200 Progressive Line, 250 AMG Line dan talaan AMG 35 4Matic bagi disesuaikan dengan cita rasa dan keperluan pelanggan.

GLB versi prestasi AMG.
GLB versi prestasi AMG.

Ia mampu menjana kuasa kuda 163hp, 224hp dan 306hp serta tork daripada 250Nm, 350Nm dan 400Nm masing-masing dengan kelajuan maksimum daripada 207 kilometer/sejam (km/j) sehingga 250 km/j melalui kotak gear dwi-klac (DCT) tujuh serta lapan kelajuan.

Ia hadir dengan lampu hadapan menyerlah serta skid plate dan rekaan hujung kenderaan lebih pendek pada bahagian hadapan dan belakang.

Apron kemasukan udara pula direka bagi disesuaikan dengan gril radiator.

Pada bahagian belakangnya, lampu dua bahagian dan reflektor yang terletak pada bampar selain rel bumbung aluminium melengkapi keseluruhan gaya kenderaan ini.

RUANG dalaman mewah dan praktikal.
RUANG dalaman mewah dan praktikal.

Ruang dalamannya pula berkapasiti kargo daripada 570 liter ke 1,850 liter.

Baris tempat duduk kedua yang boleh digerakkan selain penyandar boleh laras memberikan kelebihan tambahan 190 liter kapasiti kargo.

TEMPAT duduk baris ketiga.
TEMPAT duduk baris ketiga.

Ia juga dilengkapi Mercedes-Benz User Experience (MBUX) untuk skrin kokpit dengan kawalan dan paparan pada papan pemuka.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz GLB dijual pada harga RM269,118 (200 Progressive Line), RM318,009 (250 AMG Line) dan RM363,136 untuk AMG 35 4Matic (harga atas jalan tanpa insurans dengan cukai jualan dikecualikan sehingga hujung tahun ini).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 7:00 AM