LIMOSIN kompak A-Class. FOTO Owee Ah Chun.
LIMOSIN kompak A-Class. FOTO Owee Ah Chun.
Lizam Ridzuan

Tampil kompak dengan ciri praktikal menjadi elemen utama, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sebagai pengedar jenama itu di negara ini melancarkan model terbaharu A-Class Limousine, baru-baru ini.

Dua varian ditawarkan iaitu A 200 Progressive Line dan A 250 AMG Line yang dijana enjin 1.4 liter dengan kuasa 163 hp serta 250Nm dan 2.0 liter dengan 224hp serta tork 350Nm.

Untuk A 200, mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 8.1 saat dengan kelajuan maksimum 230km/j manakala A 250 dalam tempoh 6.3 saat serta kelajuan puncak sehingga 250km/j.

PILIHAN enjin 1.4 dan 2.0 liter. FOTO Owee Ah Chun.
PILIHAN enjin 1.4 dan 2.0 liter. FOTO Owee Ah Chun.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine berkata, model ini menampilkan ciri utiliti terbaik dalam segmennya untuk keselesaan penumpang.

“Ia kombinasi rekaan kenderaan limosin dan kompak dengan ‘overhangs’ hadapan dan belakang pendek serta garisan sisi yang menyerlahkan gaya sporty,” katanya ketika pelancaran.

A-Class Limosine dilengkapi dengan ciri teknologi terkini seperti sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX) hadir dengan skrin sesentuh untuk hiburan dan maklumat serta sistem bantuan pemanduan iaitu Bantu Brek Aktif dan Bantu Kekal Laluan.

RUANG dalaman elegan. FOTO Owee Ah Chun.
RUANG dalaman elegan. FOTO Owee Ah Chun.

Tambah premium, ia didatangkan dengan ciri keselamatan termaju, sistem kunci Keyless-Go serta ruang dalaman dengan 64 warna suasana boleh dipilih mengikut mod pemiliknya.

“Ruang kepala bahagian belakang seluas 944 milimeter (mm), but pula berkapasiti 420 liter dengan bukaan 950mm bagi kemudahan dan ciri fleksibel untuk memasukkan barangan.

“Ia antara kelebihan model limosin kompak ini,” katanya.

BUT seluas 420 liter. FOTO Owee Ah Chun.
BUT seluas 420 liter. FOTO Owee Ah Chun.

Lampu hadapan multibeam LED, satu daripada teknologi segmen mewah membolehkan ia dikawal secara elektronik mengikut situasi trafik.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz A 200 Progressive Line dijual pada harga RM229,888 dan A 250 AMG Line pada harga RM267,888 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:00 AM