GLA Serba Baharu kini lebih kompak.
GLA Serba Baharu kini lebih kompak.
Lizam Ridzuan


SEBAGAI model permulaan untuk rangkaian model kenderaan utiliti sukan (SUV) Mercedes-Benz, GLA Serba Baharu yang dilancarkan baru-baru ini penuh dengan karakter tersendiri.

Menawarkan gaya lasak dan urban melalui dua pilihan varian iaitu GLA 200 Progressive Line dan GLA 250 AMG Line, ia hanya dibezakan dengan segi kuasa enjin serta kemasan.

Kedua-duanya didatangkan dengan rekaan panjang keseluruhan 4.41 meter.

Ia paling pendek untuk jenama ini, namun sangat ideal untuk mobiliti pantas dalam bandar.

Gaya sporty dengan elemen coupe pada garisan tingkap, lampu hadapan LED berprestasi tinggi, gril radiator dengan logo bintang dan 'louvre' tunggal serta perincian lebih halus menyerlahkan lagi model ini.

Ruang dalaman kontemporari diserlahkan dengan paparan meter. Ciri standard GLA dapat dilihat melalui sistem infotainmen bersaiz 10.25 inci yang juga generasi terbaharu untuk 'Mercedes Me Connect'.

Ia juga dilengkapi sistem infotainmen Mercedes-Benz User Exprience (MBUX) yang boleh dilaras secara individu melalui opsyen tersedia.

CIRI kabin premium.
CIRI kabin premium.

PENUMPANG belakang dengan ruang kaki lebih luas.
PENUMPANG belakang dengan ruang kaki lebih luas.

Tampil unik, lima corong penyaman udara rekaan berkualiti konsep turbin pada papan pemuka menyerlahkan gaya ditambah kemasan panel pintu bersepadu dengan perehat lengan.

Posisi kedudukan pemandu dan penumpang hadapan juga lebih tinggi dan menegak daripada model terdahulu.

Model ini turut menawarkan ruang dalaman lebih selesa terutama kepada ruang kaki penumpang dan but.

Tempat duduk belakang juga sesuai untuk dua penumpang yang didatangkan dengan nisbah lipatan 40:20:40.

Sistem keselamatan terdiri daripada pakej parkir dengan kamera undur, bantuan titik buta selain bantuan brek aktif.

Untuk GLA 200 Progressive Line, ia didatangkan dengan enjin 1.3 liter pengecas turbo empat silinder serta kotak gear transmisi 7G automatik dwiklac (DCT).

Ia menjana 163 kuasa kuda dan tork 250Nm serta mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 8.7 saat dengan kelajuan maksimum sehingga 210km/j.

Ia didatangkan dengan rim aloi 18 inci lima jejari berkembar Progressive Line, rel aluminium dan cermin sisi lipatan elektrik.

GLA 200 kekal elemen standard.
GLA 200 kekal elemen standard.

GLA 250 4Matic AMG Line pula datang dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat silinder, transmisi automatik 8G-DCT yang menjana 224 kuasa kuda dan tork 350Nm juga memecut dari sifar ke 100km/j dalam tempoh 6.9 saat dan kelajuan maksimum sehingga 240km/j.

Ia didatangkan dengan suspensi rendah selesa dengan sistem pengendalian terus dan 'Dynamic Select' untuk pengendalian lebih stabil dan berprestasi.

Antara yang ada pada model ini ialah padanan rim aloi 19 inci lima jejari berkembar dengan cermin sisi dan pandang belakang pemalap automatik.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz GLA 200 dijual pada harga RM244,199 manakala GLA 250 pada harga RM285,336.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:48 AM