Lizam Ridzuan


BAGI mengenang model Volkswagen Beetle yang menamatkan pengeluarannya pada tahun ini, ‘Perhimpunan Ikonik’ kenderaan itu diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Lebih 400 Beetle klasik dan terbaharu menyertai acara anjuran Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM)

iaitu pengedar kenderaan Volkswagen di negara ini.

Acara bermula dengan konvoi membabitkan 140 Beetle dari Kuala Lumpur menyusuri beberapa jalan utama sebelum memasuki Lebuhraya Maju (MEX) menuju Putrajaya.

Sebaik tiba di Putrajaya, pelbagai aktiviti disediakan seperti persembahan muzik, pameran dan jualan, trak makanan dan acara membabitkan pengunjung di pentas utama.

PEMILIK dan peminat Beetle di Putrajaya.
PEMILIK dan peminat Beetle di Putrajaya.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, pihaknya menghargai dan terharu dengan sokongan semua peserta terutama yang datang sejauh Perlis dan Johor semata-mata menjayakan perhimpunan itu.

“Ia adalah saat yang penuh emosi untuk mengenang model ikonik Beetle. Semua model ini berada di Putrajaya dan ia menyatukan komuniti pemilik kenderaan klasik atau terbaharu,” katanya ketika acara pelepasan.

Pemilik Beetle, Shekh Imaduddin Hakmi Shekh Yahya, 52, bangga kerana dapat berkumpul untuk sama-sama memeriahkan Perhimpunan Ikonik.

“Ramai yang hadir untuk menyokong perhimpunan ini. Saya harap lebih banyak acara membabitkan jenama ini dianjurkan,” katanya yang juga Presiden VW Republic, satu daripada komuniti Beetle di negara ini.

ANTARA yang mencuri tumpuan.
ANTARA yang mencuri tumpuan.

Cliften Nathaniel, 55, pula bersedih kerana Beetle akan menamatkan model ikonik itu sejak dikeluarkan 80 tahun lalu.

“Namun, acara ini menggembirakan saya kerana dapat berjumpa rakan-rakan yang mempunyai minat sama

dan akan sentiasa menyokong aktiviti membabitkan Beetle,” katanya yang pernah mengembara ke Jerman menaiki Beetlenya.

Antara ratusan pemilik Beetle yang hadir, tiga dipilih sebagai paling menyerlah dalam kategori ‘Best In Show’ iaitu Fairul Irwan, Raja Gopal dan Thavanesan Selvaratnam.

Siti Aishah Ismail pula memenangi kategori ‘Most Liked Car’. Semua kenderaan mereka dimuat naik ke akaun Instagram dan mendapat undian paling banyak.

#vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:00 AM
PELBAGAI gaya dan rupa.
PELBAGAI gaya dan rupa.