Lizam Ridzuan


Panggilan untuk semua pemilik beetle!

SELEPAS perjalanan model Beetle selama lapan dekad, pengedar rasmi kenderaan Volkswagen di negara ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mempelawa semua pemilik Beetle sama ada moden atau klasik menyertai acara ‘Beetle, An Iconic Gathering’.

Diadakan pada 13 Julai ini, acara ini juga bagi memecahkan catatan Malaysia Book of Records (MBOR) dengan mengumpul seramai mungkin pemilik model Volkswagen Beetle di negara ini yang diadakan di Putrajaya.

Orang ramai dan pemilik Beetle harus hadir kerana pelbagai acara menarik disediakan, bermula jam 11 pagi. Antaranya ialah sajian ‘food truck’, car boot sales, persembahan muzik oleh ‘band’ tempatan, pameran pelbagai model Beetle serta banyak lagi.

Penyertaan adalah percuma dan butiran lain berkaitan acara ‘Beetle: An Iconic Gathering’ ini akan diberi sebaik selesai pendaftaran. Paling menarik setiap penyertaan akan menerima sijil khas daripada Volkswagen. Ayuh sertainya!

Terbuka kepada pemilik Volkswagen Beetle (moden atau klasik) di negara ini, pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web: www.volkswagen.com.my/volkswagen-events/beetlegatheringreg Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, tujuan utama ia diadakan adalah untuk meraikan model terlaris jenama itu yang terjual sebanyak 21.5 juta unit di seluruh dunia dan pada masa sama, sebagai simbolik ucapan selamat jalan kepadanya.

“Volkswagen bakal menamatkan pengeluaran Beetle pada tahun ini dan acara terbabit adalah peluang terbaik kepada semua pemilik dan peminat untuk berkumpul dengan mencatatkan rekod baharu untuk dikenang dalam lipatan sejarah.

“Sudah pasti acara ini sangat meriah dengan kehadiran Bug kegemaran yang menerima pelbagai sentuhan tersendiri bagi disesuaikan dengan personaliti pemiliknya yang penuh warna-warni,” katanya.

SEJARAH VOLKSWAGEN BEETLE

Mula diperkenalkan pada 1938, Volkswagen Beetle dibangunkan sebagai ‘kereta rakyat’ mampu milik di Jerman, malah menjadi ikonik dan terkenal di seluruh dunia sejak 80 tahun lalu.

Direka Ferdinand Porsche, generasi pertama Beetle adalah pencetus kepada perkembangan jenama Volkswagen (VW) yang sering dikaitkan dengan perkembangan fesyen, seni dan gaya hidup.

Pada 1998, Beetle generasi kedua dilancarkan dengan rekaan DNA klasik digabung dengan pelbagai elemen baharu termasuk enjin diletakkan di hadapan.

Kemudian pada 2011, generasi ketiga Beetle dilancarkan dan untuk pasaran Malaysia ketika ini, ia ditawarkan dengan model Beetle Sport yang dijana enjin 1.2 TSI dijual pada harga RM152,390 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 11:01 AM