WINTER dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans Peter Ressel pada majlis pelancaran. FOTO Amirudin Sahib
WINTER dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans Peter Ressel pada majlis pelancaran. FOTO Amirudin Sahib
Lizam Ridzuan


VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Lazada Malaysia mengumumkan kerjasama bagi jualan 12 kereta Volkswagen Beetle secara dalam talian.

Usahasama ini membolehkan pembeli mendapatkan edisi terhad Volkswagen Beetle 'Herbie 53' dan 'Hot Bug' yang hanya dijual di laman web Lazada pada harga bermula RM112,112 pada 12 hingga 14 Disember 2017.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, kerjasama dengan Lazada adalah sebagai satu pencapaian untuk Volkswagen dalam meluaskan pasaran kenderaan mereka di negara ini.

"Dunia digital kini berkembang apabila pelbagai produk dan perkhidmatan dipromosi secara dalam talian dan kami mengambil langkah awal untuk menjual kereta juga yang pertama di Lazada," katanya ketika majlis pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.

Pembeli yang berminat boleh melayari laman web Lazada dan membeli ‘Welcome Kit’ eksklusif bernilai RM5,000 juga sebagai bayaran tempahan untuk model itu dan kemudian akan dihubungi oleh wakil pengedar Volkswagen ke ruang pameran berdekatan bagi sesi pandu uji dan urusan dokumen berkaitan.

Volkswagen Beetle dengan enjin 1.2 liter pengecas turbo TSI serta kotak gear transmisi tujuh kelajuan DSG didatangkan dengan lima tahun waranti pengeluar serta bantuan di jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 8:30 PM