HOELZ (dua dari kanan) bersama Cheah (kiri), Lain dan Chan.
HOELZ (dua dari kanan) bersama Cheah (kiri), Lain dan Chan.
Lizam Ridzuan


KEMUDAHAN parkir Reserve + Shell Recharge Bays diperkenalkan baru-baru ini, bagi menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan gas karbon daripada kenderaan.

Hasil kerjasama BMW Group Malaysia, Sunway Group, ParkEasy dan Shell Malaysia, lima ruang parkir kenderaan disediakan di Sunway Pyramid, Petaling Jaya untuk mengecas kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) atau kenderaan elektrik (EV).

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelz berkata, sebagai penyedia lebih 20 unit Kemudahan Mengecas BMWi di lokasi di seluruh negara, mereka sentiasa menyokong usaha ke arah kemampanan alam sekitar.

“Pada peringkat global, Malaysia tersenarai antara negara paling progresif memacu visi mobiliti masa hadapan terutama berkaitan kenderaan elektrik.

“Maka selari dengan tujuan itu, kami akan meluaskan lagi kemudahan mengecas seperti ini dengan pengguna PHEV dan EV mendapat banyak manfaat daripadanya,” katanya.

Selain urusan mengecas lebih senang, bagi kelancaran mendapatkan kemudahan itu terutama ketika hujung minggu, ParkEasy menyediakan aplikasi telefon pintar bagi menempah petak parkir yang tersedia.

Melalui maklumat disediakan, pengguna boleh memilih pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan itu.

Selain Sunway Pyramid, tiga unit Reserve + Shell Recharge Bays juga disediakan di Sunway Pinnacle selain dua di Sunway Velocity.

Manakala Shell Malaysia menjadikan usaha sama seperti ini sebagai langkah ke arah menyediakan kepada pelanggan mereka akan teknologi baharu yang menjangkaui stesen runcit mereka.

Turut hadir pada perasmiannya ialah Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Lain Lo dan Ketua Pegawai Eksekutif ParkEasy, Warren Chan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:00 AM