PROGRAM waranti bateri Plug-in Hibrid (PHEV) daripada BMW Malaysia.
PROGRAM waranti bateri Plug-in Hibrid (PHEV) daripada BMW Malaysia.
Lizam Ridzuan


BMW Group Malaysia melancarkan kempen #TheJoyToCome yang menawarkan Program Waranti Bateri Hibrid 'Plug-In' (PHEV) untuk kenderaan BMW dan Mini di Malaysia.

Ia adalah lanjutan waranti bateri PHEV melalui tambahan dua tahun dan 60,000 kilometer (km) menjadikan ia merangkumi lapan tahun keseluruhan dengan 160,000 km (yang mana lebih dahulu).

Selain itu program ini juga menawarkan opsyen lanjutan melalui Program Naik Taraf Selepas Jualan BMW dan Mini untuk model seperti BMW 330e, BMW X5 xDrive

40e, BMW 530e dan MINI Countryman PHEV pada harga RM2,200, serta BMW 740Le pada harga RM7,600.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata kempen ini ditawarkan sebagai menyuntik semangat kepada pelanggan dalam tempoh mencabar ketika mengharungi tempoh pandemik Covid-19.

"Lanjutan waranti ini juga untuk disesuaikan dengan keadaan semasa serta eko-sistem perniagaan yang relevan dengan keperluan pelanggan bagi pengalaman pemilikan terbaik jenama kami," katanya.

Program waranti bateri PHEV ini ditawarkan bermula sekarang sehingga 31 Disember 2020.

Selain itu program pembiayaan menarik juga disediakan oleh BMW Credit Malaysia untuk menikmati rebat tunai berjumlah RM5,000 hingga RM60,000 seperti BMW 740Le atau model 3 Series dan 5 Series terpilih.

Melalui program berasingan juga ditawarkan dengan ansuran bulanan percuma selama tiga bulan untuk model BMW terpilih sehingga 30 Jun 2020 dengan pemiik baharu menerima kadar pembiayaan 0 peratus dan rebat tunai daripada RM10,000 hingga RM30,000 dengan Program Perlindungan Terunggul BMW.

BMW i8 Coupe juga boleh dimenangi dengan pembelian model BMW 740Le serta kempan Minimise oleh Mini Malaysia untuk kadar faedah menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 10:35 PM