KAKITANGAN UMW Toyota Motor mengedarkan bubur lambuk kepada jemaah Masjid Jamek Raja Tun Uda.
KAKITANGAN UMW Toyota Motor mengedarkan bubur lambuk kepada jemaah Masjid Jamek Raja Tun Uda.
Mohd Razlan Salleh

Meskipun Ramadan sudah berakhir hampir dua minggu, kemeriahan dan keberkatannya tetap dirasai hingga kini. Paling dikenang adalah ‘menu wajib’ Ramadan iaitu bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong pada bulan puasa.

Sepanjang Ramadan di masjid dan bazar, juadah enak ini mudah ditemui atau diagihkan secara percuma kepada orang ramai sebagai menu berbuka puasa.

Perkara sama turut dilakukan Ibu Pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam, Selangor, sempena Ramadan dan Bulan Alam Sekitar Dunia.

Secara simboliknya, bubur lambuk untuk edaran diletak di dalam bekas Tiffin yang mesra alam kerana diperbuat daripada plastik keras terurai bio. Walaupun mesra alam, bekas sintetik ini boleh diguna berulang kali dan bebas kimia.

Hampir 1,000 kotak Tiffin diagihkan kepada kakitangan UMW Toyota Motor dan orang ramai sekitar Masjid Jamek Raja Tun Uda. Hadir sama Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Pengarah Eksekutif Jualan UMW Toyota Motor, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, selain amalan ‘memberi’ pada Ramadan, pihaknya tetap mengekalkan konsep ‘hijau’.

RAVINDRAN (berdiri tiga dari kiri)  bersama kakitangan UMW Toyota Motor menyokong Bulan Alam Sekitar Dunia.
RAVINDRAN (berdiri tiga dari kiri) bersama kakitangan UMW Toyota Motor menyokong Bulan Alam Sekitar Dunia.

“Di UMW Toyota Motor, kami menggalakkan kakitangan mengurangkan penggunaan plastik tunggal sebagai sokongan tema Bulan Alam Sekitar Sedunia tahun ini.

“UMW Toyota Motor sudah melaksanakan banyak program perlindungan alam sekitar dan menggantikan bekas plastik dengan bekas Tiffin bertujuan menghapuskan penggunaan bahan plastik tunggal,” jelasnya.

Mohd Shamsor berkata, bekas Tiffin adalah bahan alternatif mesra alam untuk bekas plastik dan diharap usaha syarikat dapat menggalak serta menyedarkan kakitangan dalam usaha menjaga alam sekitar.

“Kafeteria kami sudah berhenti menggunakan beg plastik sejak 1 Jun lalu dan menggantikannya dengan bekas lebih mesra alam. Sejajar dengan tema ‘Green Giving Day’, kakitangan UMW Toyota Motor berkumpul untuk membersihkan semua bekas, membungkus biskut dan bubur lambuk secara bergotong-royong,” katanya.

Katanya, hari berkenaan menyaksikan kakitangan meluangkan masa dan tenaga mereka dalam penyediaan acara serta berkongsi mesej alam sekitar dengan masyarakat setempat.

BEKAS Tiffin yang lebih mesra alam dan bebas bahan kimia.
BEKAS Tiffin yang lebih mesra alam dan bebas bahan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 11:20 AM