ORKESTRA The Age of Enlightenment London mendapat nama daripada Zaman Pencerahan
ORKESTRA The Age of Enlightenment London mendapat nama daripada Zaman Pencerahan
Mohd Razlan Salleh

Konsert muzik klasikal Toyota Classics yang dianjurkan saban tahun kali ini akan menampilkan persembahan Orkestra The Age of Enlightenment ke Dewan Filharmonik Petronas pada 13 November depan.

Selain menawarkan hiburan yang eksklusif, konsert ini turut bertujuan mengumpul dana bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan kajian terhadap tenaga diperbaharui oleh dua universiti tempatan.

Orkestra The Age of Enlightenment dari London mendapat namanya daripada Zaman Pencerahan yang terkenal dalam sejarah Eropah pada kurun ke-17 hingga 19.

Mereka adalah orkestra paling terkemuka seumpamanya dengan matlamat memberikan persembahan dalam corak asli dan peralatan muzik seperti zaman berkenaan.

ORKESTRA The Age of Enlightenment LAondon terkenal di seluruh dunia.
ORKESTRA The Age of Enlightenment LAondon terkenal di seluruh dunia.

Kumpulan ini menyampaikan persembahan memukau melalui muzik dengan penceritaan bermakna dan mengujakan.

Orkestra ini akan dipimpin konduktor Steven Devine yang terbabit dalam setiap persembahan di seluruh dunia selaku pemain harp (Harpsichordist).

Sebagai tambahan, persembahan ini turut menampilkan penyanyi soprano British, Charlotte Beament, pemain violin solo, Daniel Edgar dan pemain violin, Kinga Ujszaszi.

Dianjurkan sebagai acara tahunan UMW Toyota dan Toyota Motor Corporation sejak 1990, Toyota Classics adalah acara untuk tujuan kebajikan.

CHARLOTTE.
CHARLOTTE.

Hasil kutipan jualan tiket dan derma akan disalurkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) untuk dana kajian masing-masing berkaitan Orang Asli dan tenaga boleh diperbaharui.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Akio Takeyama, berkata pihaknya dengan kerjasama Toyota Motor Corporation komited membantu masyarakat melalui sumbangan dana hasil kutipan tiket Toyota Classics.

“Kami berbangga untuk memberi sokongan terhadap projek yang boleh dimanfaatkan masyarakat dalam usaha untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka.

“UMW Toyota Motor setakat ini menyumbang dana lebih RM8.6 juta yang diagihkan kepada 67 badan sosial, kebajikan dan alam sekitar,” katanya.

KINGA.
KINGA.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan acara berkenaan dalam kalendar tahunan dengan membawakan persembahan muzik klasikal terbaik dari seluruh dunia ke negara ini.

“Pada masa sama turut mengumpul dan menyalurkan dana bagi membiayai program yang akan memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor K Ravindran, berkata tiket dijual pada harga berpatutan, bermula RM100 sehingga RM250.

“Orang ramai boleh mendapatkan tiket di kaunter Box Office, Dewan Filharmonik Petronas atau melalui laman web toyota.com.my,” katanya.

STEVEN.
STEVEN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 12:30 AM