ANTARA peserta yang menyertai jelajah Pemanduan Lima Benua Toyota. FOTO Danial Saad
ANTARA peserta yang menyertai jelajah Pemanduan Lima Benua Toyota. FOTO Danial Saad
Rudy Fazrunisyam Samarudin

Projek Pemanduan Lima Benua Toyota (Toyota Drive 5C) yang melengkapkan fasa akhir ke benua Asia berada di Malaysia baru-baru ini.

Ia medan terbaik Toyota menterjemahkan konsep Genchi Genbutsu yang dipraktikkan syarikat itu.

Seramai 33 individu termasuk pemandu dan kru terbabit dalam konvoi bermula di Pulau Pinang pada 4 November lalu sebelum tiba di UMW Toyota Shah Alam tiga hari kemudian.

Pasukan itu menggunakan kenderaan Toyota yang dipasarkan di Malaysia seperti Hilux, Innova, Vios, Yaris, Fortuner, Rush dan sebuah kenderaan bukan buatan Toyota iaitu Perodua Alza.

Malaysia adalah persinggahan sebelum konvoi meneruskan perjalanan ke Singapura untuk melengkapkan misi Asia Tenggara sebelum berlepas ke Filipina untuk misi yang berikutnya dan berakhir di Jepun menjelang Olimpik Tokyo 2020.

Toyota Drive 5C yang diperkenalkan di Timur Tengah pada 2014 adalah konvoi projek serampang dua mata untuk menguji jentera Toyota mengikut spesifikasi negara di lima benua dalam tempoh lima tahun membabitkan jarak keseluruhan lebih 100,000 kilometer.

Ketua Pasukan, Kazuaki Abiru berkata, seperti negara lain, pasukan konvoi di Malaysia berpeluang mempelajari dan mendapatkan pengalaman di jalan raya.

Ia juga bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat sama ada daripada pengguna Toyota serta rakan perniagaan dalam usaha syarikat ‘membina kereta yang lebih baik’.

PRESIDEN S&D Tama Sdn Bhd, Katsuhiko Tamura (kanan) dan Ketua Pegawai Motosport UMW Toyota Motor, Akio Takeyama (dua dari kanan) melepaskan peserta jelajah. FOTO Danial Saad
PRESIDEN S&D Tama Sdn Bhd, Katsuhiko Tamura (kanan) dan Ketua Pegawai Motosport UMW Toyota Motor, Akio Takeyama (dua dari kanan) melepaskan peserta jelajah. FOTO Danial Saad

“Kami teruja berada di Malaysia kerana banyak dipelajari mengenai keadaan jalan, gaya pemanduan, kegunaan kenderaan dan budaya masyarakatnya.

“Setiap negara yang kami lalui berbeza daripada segi semua itu dan memberikan kami pengalaman serta data diperlukan untuk membina kenderaan Toyota yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Menurut Kazuaki, Toyota Drive 5C memberi peluang syarikat menterjemahkan konsep ‘Genchi Genbutsu’ iaitu melihat sendiri untuk benar-benar memahami situasi.

“Ia ujian lapangan disertai warga Toyota dari Jepun dan beberapa negara Asia lain mengikut pelbagai latar belakang kerja sama ada jurutera, pemasaran dan teknikal serta pembabitan kakitangan wakil pengedar sesebuah negara.

“Cabaran utama kami adalah memahami bahasa dan budaya di negara yang di lawati tetapi cabaran itu juga yang menjadikan projek ini satu peluang kepada Toyota untuk terus dekat dengan masyarakat sesebuah negara.

“Pada akhirnya saya yakin Toyota Drive 5C ini mencapai matlamat yang syarikat inginkan,” katanya.

Toyota Drive 5C sebelum ini melengkapkan konvoi di Oceania, Afrika, Eropah dan Amerika sebelum ke Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:00 AM