Lizam Ridzuan


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) membuka tempahan Perodua Axia 2019 dengan gaya kemasan baharu serta ciri keselamatan terkini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, model ini ditawarkan dengan enam varian dan pengenalan varian baharu Style bagi disesuaikan dengan personaliti setiap rakyat Malaysia.

“Axia menawarkan mobiliti mampu milik dan mudah buat semua dan sudah terjual lebih 380,000 unit sejak pelancaran pada September 2014 serta menjadi model terlaris kami dari 2015 hingga 2017.

“Ia kini dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) yang pertama kali diperkenalkan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) Aruz pada Januari lalu serta terdapat pada Myvi generasi ketiga melalui ASA generasi pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ASA 2.0 ialah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki, Amaran Prapelanggaran, Brek Prapelanggaran, ‘Front Departure Alert’ dan ‘Pedal Misoperation Control’.

Lima pilihan warna ditawarkan dengan satu warna baharu iaitu Oren Sunrise Metalik selain Merah Lava, Biru Midnight, Perak Glittering dan Putih Ivory.

Perodua Axia 2019 yang diberi penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di negara ini akan berada di ruang pameran Perodua tidak lama lagi dengan enam varian dijual pada harga RM24,090 (E), RM33,490 (G), RM34,990 (GXtra), RM38,890 (Style dan SE) serta RM43,190 (AV).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:13 PM