Lizam Ridzuan


Gaya 'Dapper' dan menunggang motosikal antara tarikan utama yang menjadikan program 'Distinguished Gentleman's Ride Kuala Lumpur 2022' (DGRKL 2022) terus mendapat sambutan.

Dilangsungkan baru-baru ini, program dimulakan di Lalaport Bukit Bintang City Centre ke Dataran Merdeka sebelum berakhir di Gasket Alley, Petaling Jaya.

Wakil penganjur Throttle Riot, Muhammad Yusof Muhamad Nor berkata, selepas dua tahun acara ini tidak diadakan kerana pandemik, ia cukup dinantikan peminat dunia permotoran tempatan.

PERMULAAN di Lalaport Bukit Bintang City Centre.
PERMULAAN di Lalaport Bukit Bintang City Centre.

"Kami menjangkakan kehadiran sekitar 400 orang sahaja, namun lebih 700 peserta hadir bagi menjayakan 'ride' amal ini.

"Acara ini juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran ramai tentang barah prostat dan kesihatan mental selain mengumpul dana untuk disumbang bagi kajian merawat penyakit itu," katanya.

Program turut mendapat kerjasama anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain Kuala Lumpur, DGRKL 2022 turut diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak.

KONVOI baik dan terkawal.
KONVOI baik dan terkawal.

Antara peserta yang menyertai program ini ialah Darlene Harifin.

Darlene menyertainya buat kali kedua.

"Saya rasa teruja untuk menunggang beramai-ramai begini. Ia cukup saya nantikan," katanya yang juga penasihat kewangan dan insurans.

Jaja Zubir pula yang memiliki motosikal Harley-Davidson berkata, walaupun aktif dengan acara tunggangan kelab motosikal disertainya, namun program DGR 2022 memiliki keunikan tersendiri.

"Selalunya saya akan mengenakan pakaian menunggang yang sesuai namun untuk DGRKL 2022, saya boleh menggayakan fesyen dengan konsep yang ditetapkan dan ia sangat menarik," katanya yang juga seorang strimer.

ANTARA peserta DGRKL 2022.
ANTARA peserta DGRKL 2022.

Di Petaling Jaya, selain persembahan muzik, juga diadakan cabutan bertuah dan pemenang pakaian Dapper terbaik.

Program DGR 2022 turut diadakan di lebih 700 bandar dan 100 negara yang dimulakan oleh Mark Hawwa pada 2012 di Sydney, Australia.

Untuk Malaysia, dana yang berjaya dikumpul sekitar RM35,000. Ia disumbang peminat dan peserta secara atas talian.

DGRKL bermula pada 2012 untuk komuniti peminat dua roda daripada pemilik motosikal cafe racer, klasik dan cruiser (chopper).

Untuk 2022, ia mendapat tajaan dan kerjasama daripada DIDI Group Company, GKL Empire, DC Zon dan Lalaport Bukit Bintang City Centre sebagai lokasi permulaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 6:52 AM