VARIAN RS dilengkapi lima mod tunggangan.
VARIAN RS dilengkapi lima mod tunggangan.
REKAAN agresif.
REKAAN agresif.
ENJIN 675cc lebih ringan dan responsif.
ENJIN 675cc lebih ringan dan responsif.
RAZAK (tengah) memperkenalkan model baru Street Triple 2018.
RAZAK (tengah) memperkenalkan model baru Street Triple 2018.
Lizam Ridzuan

Motosikal Triumph Street Triple ini mula diperkenalkan pada 2007 sebagai antara pilihan untuk jenama itu dalam segmen kategori ‘Naked’ berprestasi tinggi dan terjual melebihi 50,000 unit di serata dunia.

Sesuai untuk kegunaan dalam bandar ataupun menguji kuasa enjin maksimum di litar, ia menjadi pilihan buat mereka yang mahukan sebuah motosikal ringan, lincah, praktikal dan mesra pengguna.

Baru-baru ini model Street Triple 2018 yang dipertingkatkan dari segi rekaan dan talaan enjin diperkenalkan Fast Bikes Sdn Bhd (Fast Bikes) ke pasaran tempatan sebagai pengedar rasmi jenama itu di negara ini.

Tiga varian diperkenalkan iaitu Street Triple S, Street Triple RS dan Street Triple R (Low Ride Height (LRH)) dengan pelana istimewa 30 milimeter (mm) lebih rendah daripada standard.

Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes, Datuk Razak al-Malique berkata, model itu tampil dengan rekaan lebih versatil dalam segmennya dengan pelbagai ciri sesuai untuk kemudahan dan keselamatan penunggang.

“Motosikal ini dibangunkan daripada model Triumph Daytona 675cc yang terbukti kehebatan prestasi dengan rekaan lebih agresif dengan watak tersendiri,” katanya ketika pelancaran.

Setiap varian mempunyai kuasa dan tork berbeza iaitu 111hp dan tork 73Nm untuk varian S, 116hp dan 77Nm (varian R) dan 121hp dengan tork 77Nm (varian RS)

Antara ciri terkini ialah lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) untuk varian R dan RS untuk lebih jelas dilihat di atas jalan raya dengan 28 kali lebih terang berbanding model generasi terdahulu.

Rekaan keseluruhan dengan penutup radiator luaran dan dalaman baru, madgad hadapan dan belakang baru serta panel badan lebih menarik yang boleh dibezakan daripada setiap varian melalui warna dan pelana.

Panel instrumen juga dikemas kini dengan skrin LCD untuk tolok bahan api, odometer dan jarak perjalanan manakala untuk varian R dan RS pula dengan paparan TFT lima inci yang termoden dalam industri motosikal dunia.

Ia menawarkan empat tema berbeza untuk mod tunggangan mengikut jenis varian serta boleh dilaras mengikut ketinggian penunggang untuk melihat skrin dengan lebih jelas.

Semua varian didatangkan dengan sistem brek anti-kunci (ABS) serta kawalan cengkaman dan bagi pengendalian terbaik lengan ayun belakang jenis ‘gullwing’ untuk prestasi melalui selekoh lebih kemas.

Harga jualan untuk Triumph Street Triple S ialah pada harga bermula daripada RM52,900 dalam pilihan dua warna iaitu Merah Diablo dan Hitam Phantom.

Untuk Street Triple R (LRH) dijual pada harga RM59,900 dengan tiga warna pilihan iaitu Putih Crystal, Hitam Phantom dan Perak Matt Ice.

Street Triple RS pula dijual pada harga RM66,900 dengan dua warna iaitu Perak Matt Ice dan Black Phantom Metalik dan semua harga adalah termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan dua tahun waranti tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:01 AM