Mungkin ada antara kita hanya mengenali motosikal Triumph sebagai jentera dua roda klasik yang dahulunya pernah menjadi satu daripada pengangkutan kepada masyarakat negara ini sebelum dilimpahi jentera dua roda dari negara matahari terbit.
Sebenarnya jenama itu masih wujud di negara ini menerusi pengedar eksklusifnya, Fast Bikes Sdn Bhd yang menggalas tugas untuk memasarkan motosikal Triumph sejak beberapa tahun lalu.
Model ikoniknya iaitu Bonneville memperkukuhkan lagi jenama Triumph dengan menampilkan konsep klasik moden bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan yang meminati jentera berkenaan.
Barisan produk Bonneville ditawarkan dengan empat model menerusi Street Twin, T120, T120 Black dan Thruxton R.
Bagi model Street Twin, ia dijana enjin 900cc, manakala T120, T120 Black dan Thruxton R menggunakan rangkaian kuasa 1,200cc.
Setiap model 1,200cc itu dengan rekaan casis dan enjin berbeza, selain tidak berkongsi komponen penyejukan udara Bonneville sebelum ini.
Bonneville T120 Black sama seperti T120 dengan menerapkan karakter ikonik menerusi model asli yang dilahir pada 1959.
Kedua-dua model ditempa dengan perincian standard tinggi dan kemasan terakhir berkualiti.
Enjin 1,200cc itu hadir dengan tork lebih tinggi mencecah 105Nm pada putaran enjin 3,100rpm. Ia lebih tinggi 54 peratus berbanding generasi T100 sebelumnya.
Model Thruxton R pula menghasilkan kuasa yang tiada tandingan dengan padanan kuasa, brek, prestasi dan pengendalian menghidupkan aura legendanya.
Enjin Thruxton R menghasilkan kuasa 98hp dengan tork setinggi 112Nm pada 4,950 rpm iaitu peningkatan 62 peratus berbanding model sama sebelum ini.
Model berkenaan didatangkan dengan keupayaan moden termasuk tindak balas pendikit dalam kadar segera menerusi sistem pancitan terus dan penyejukan cecair yang menawarkan kecekapan bahan api.
Sebagai tambahan, model 1,200cc juga menampilkan mod tunggangan untuk lebih responsif dan kawalan dipertingkatkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes, Datuk Razak Al Malique Hussain berkata, model Bonneville jentera bergaya ‘old-school’ yang menggabungkan ciri moden bagi keselesaan tunggangan harian.
“Perubahan bagi model baharu Bonneville membabitkan prestasi, keupayaan tunggangan tanpa mengorbankan karakter ikonik jentera berkenaan,” katanya.
Harga jualan bagi Bonneville Street Twin (RM55,900), T120 (RM79,900) dan Thruxton R (RM91,900) tidak termasuk insurans.