VIDEO tular IHSAN SITI MURNI MUNIRO
VIDEO tular IHSAN SITI MURNI MUNIRO
Redzuan Muharam


Jelebu: Kesesakan jalan raya memberi rezeki tidak diduga buat enam kanak-kanak apabila menerima duit raya hanya dengan berdiri di tepi jalan sambil melambai tangan kepada pemandu yang sedang menempuhi kesesakan jalan raya.

Gelagat kanak-kanak itu sempat dirakam peniaga dalam talian, Siti Murni Muniro, 35, yang juga ibu saudara kepada mereka dan tular selepas dimuat naik di TikTok.

Menceritakan kisah sebenar, Siti Murni berkata, video itu dirakam secara spontan pada hari raya ketiga lalu ketika masih berada di rumah ibunya yang terletak di Kampung Kerangai di sini.

"Waktu itu, saya dalam rumah manakala anak saudara di depan rumah bertentangan. Awalnya mereka hanya lambai tangan sambil ucap selamat hari raya dan ingatan supaya hati-hati di jalan raya kepada pemandu.

"Kemudian saya nampak mereka dipanggil oleh pemandu kenderaan yang mahu beri duit raya.

"Saya perhatikan saja dan banyak juga kereta berhenti, selepas masuk ke dalam rumah mereka tunjuk dapat banyak sampul duit raya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Siti Murni berkata, dia sengaja berkongsi video itu di TikTok sebagai kenangan ketika pulang beraya di kampung.

"Tak sangka pula boleh tular dan Alhamdulillah, banyak komen positif. Tapi ada juga yang negatif dengan mengatakan anak saudara saya macam pengemis sedangkan mereka tak meminta pun.

"Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang sumbang duit raya itu dan nampak rakyat Malaysia memang pemurah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 2:23 PM