KOMUNITI rakyat Malaysia di Sydney beraya di rumah  Mohd Zaidi dan isteri, Noor Lida sempena majlis rumah terbuka anjuran mereka.
KOMUNITI rakyat Malaysia di Sydney beraya di rumah Mohd Zaidi dan isteri, Noor Lida sempena majlis rumah terbuka anjuran mereka.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bergelar anak perantau sejak 12 tahun menetap di Sydney, Australia bukan alasan untuk Mohd Zaidi Mohd melupakan adat dan tradisi menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

Buktinya, Mohd Zaidi, 54, tidak ketinggalan meraikan rakyat Malaysia yang berada di Sydney dengan mengadakan rumah terbuka setiap kali tibanya 1 Syawal.

Mohd Zaidi yang bekerja sebagai cef berkata, majlis rumah terbuka itu menjadi rutin tahunannya sejak lima tahun lalu dan diteruskan kelmarin dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu di rumahnya.

Lantaran usahanya itu, Mohd Zaidi dianggap 'ketua kampung' oleh rakyat Malaysia terutama yang menetap di Sydney.

"Sebenarnya, bukan hanya saya, malah ada ramai lagi rakyat Malaysia yang juga jiran saya di sini mengadakan rumah terbuka pada hari raya.

"Bagaimanapun, majlis yang besar diadakan di rumah saya dan ia inisiatif saya bersama isteri untuk menghimpunkan rakyat Malaysia terutama yang berada di Sydney.

"Niat saya nak kekalkan tradisi kita menyambut raya seperti tanah air dan mengubati kerinduan rakyat Malaysia yang berjauhan dengan keluarga.

"Ia kerana kita tak nak ada yang bersedih atau kesepian sebaliknya bersama menyambut hari raya seperti satu keluarga besar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Zaidi berkata, menjelang majlis rumah terbuka itu, dia membeli barangan keperluan untuk menyediakan juadah hari raya.

Katanya, tugas memasak diserahkan kepada isteri, Noor Lida Adnan, 56, yang lebih arif dengan dibantu komuniti rakyat Malaysia.

"Kiranya kami lakukan bersama cuma saya dan isteri anjurkan serta beli semua keperluan memandangkan kami tuan rumah.

"Pada pagi raya pula, kami akan berkumpul dan bermaafan dengan satu sama lain. Alhamdulillah, setiap kali berkumpul pasti meriah, malah kanak-kanak yang datang pun kami beri duit raya.

"Walaupun jauh dengan keluarga di Malaysia namun kami tetap seronok kerana dapat beraya bersama ibarat satu keluarga besar.

"Mereka (rakyat Malaysia) pun anggap saya dan isteri macam ibu juga ayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:01 AM