HUN berjiwa besar dalam memartabatkan baju Melayu.
HUN berjiwa besar dalam memartabatkan baju Melayu.
Syafil Syazwan Jefri

BUSANA tradisi sentiasa akan menjadi penguat semangat dan identiti budaya dalam sambutan Aidilfitri. Di Malaysia, buat lelaki, tentunya baju Melayu lengkap sentiasa menjadi busana bersempena sambutan perayaan ini.

Bagi pelakon, Hun Haqeem, 26, koleksi baju Melayu bukan sesuatu yang asing buatnya memandangkan sejak kecil, dia sudah dididik untuk tampil kemas dalam busana tradisi itu.

Berkesempatan bertemu dan mewawancara jejaka kelahiran Kuching, Sarawak ini, Hun berkongsi bagaimana tradisi itu diwarisi dan dijaga olehnya sebagai generasi baharu.

"Seperti biasa, saya sediakan tujuh pasang baju Melayu sebab tradisi di Sarawak memang setiap hari. Sebagai anak muda, saya kena kekalkan tradisi itu sebab kalau tidak, ia akan dilupakan generasi akan datang.

"Saya menetap di Kuala Lumpur sekarang, tapi pada masa sama selalu pulang ke Kuching juga. Jadi, saya dapat rasa dua sambutan perayaan yang berbeza," katanya.

Berkongsi mengenai pemakaian baju Melayu lengkap, Hun tidak menafikan bahawa ketika zaman kanak-kanak, dia belum memahami erti sebenar tradisi itu.

"Waktu kanak-kanak, rasa rimas sebab kena pakai baju Melayu setiap hari. Tapi, kita dilatih oleh ibu, kena pakai juga sebab itu kemanisannya. Dah beli, takkan pakai sampai tengah hari saja.

"Lama-kelamaan, bila dah semakin meningkat dewasa dan beraya di Kuala Lumpur, rasa berbeza. Di sini meriah juga, tapi kalau tak pakai baju Melayu tak rasa meriah. Tak dapat rasa 'vibe' Aidilfitri tanpa baju Melayu.

"Saya bersyukur dibesarkan di Sarawak dan dapat balik kampung beraya di sana. Jadi, saya dapat terapkan tradisi ini kepada diri sendiri supaya kita boleh ulang lagi di masa akan datang," katanya.

Kerana koleksi baju Melayu yang banyak dikumpul sejak zaman kanak-kanak, Hun memilih untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

"Baju Melayu memang dah banyak, tapi saya dah banyak sedekahkan dan tak simpan semuanya. Saya kongsikan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Ditanya mengenai perbezaan sambutan Aidilfitri di Kuching dan Kuala Lumpur, Hun berkata, juadah yang dihidangkan juga ada perbezaan.

"Perbezaan lain adalah, selain baju Melayu, makanan juadah Aidilfitri. Kami jarang makan nasi himpit atau rendang. Kami lebih banyak menyediakan ayam masak merah, nasi minyak, daging masak hitam dan makanan wajib seperti kek lapis Sarawak dan laksa Sarawak," katanya.

Terbaharu, Hun bakal membintangi filem berjudul Game of Life yang diinspirasi daripada kehidupan dan perjalanan karier bintang e-sukan terkemuka, Soloz.

Berkongsi mengenai persediaannya sebelum melangkah masuk ke set penggambaran yang dijadualkan bermula pada Jun depan, Hun melakukan inisiatif sendiri untuk memantapkan lagi penjiwaan watak sebagai Soloz.

"Apa yang dirancang adalah untuk saya, pelakon dan dan pengarah untuk berjumpa dengan Soloz dan pasukan HomeBois bagi mendalami karakter. Jadi, kami takkan terlepas apa-apa yang penting.

"Salah satu persediaan juga adalah, penulis skrip pun 'bertapa' bersama Soloz dalam dua hari untuk betul-betul kenal dia di samping menggali lebih banyak maklumat.

"Untuk saya pula, saya berkesempatan berkenalan dengan Soloz dan dah berhubung. Itu pun salah satu inisiatif saya sendiri sebagai pelakon.

"Walaupun jalan cerita ini menginspirasikan kisah Soloz, tapi kami akan buat untuk peminat. Akan ada perwatakan Soloz yang kita akan ketengahkan," katanya.

Ditanya sejauh mana dia mengenali

susuk

Soloz sebagai bintang e-sukan tanah air, Hun berkata, dia dikelilingi rakan-rakan dan keluarga yang meminatinya.

"Saya kenal dia siapa, bagaimana dia mengharumkan nama negara kita dan bagaimana dia membawa e-sukan kita sangat jauh. Sebelum ini, tak ada orang kisah pun mengenai e-sukan di negara kita dan sekarang, kita pula menjadi tuan rumah.

"Jadi, sekali lagi, dia orang yang hebat dan ini peluang terbaik untuk tunjukkan betapa hebatnya dia dan betapa hebatnya kita dapat menjayakan sukan ini kalau ada minat di samping pasukan yang menyokong satu sama lain.

"Saya sendiri main permainan, tapi bukan Mobile Legends. Ini satu peluang untuk saya lebih kenal dia. Saya kenal Soloz daripada kawan-kawan dan keluarga. Sebagai pelakon, ini cabaran terbesar dan paling terbaik untuk kita membuktikan kemampuan kita," katanya.

Hun juga sudah memuat turun aplikasi permainan itu dan mula bermain setiap hari bagi memahami corak permainannya.

"Saya pun dah mula muat turun Mobile Legends, kemudian dah mula bermain setiap hari. Setiap hari kena bermain supaya dapat menjiwai permainan itu.

"Bukan setakat inisiatif sendiri, tapi kawan-kawan sekeliling pun sangat membantu contohnya Ikmal Amry yang kuat main permainan ini sejak bertahun-tahun. Begitu juga dengan Jaa Suzuran. Alhamdulillah, kita ada sokongan kuat.

"Penggambaran bermula 7 Jun depan atau penghujung Jun depan, Insya-Allah. Jadi, Aidilfitri ini akan diisi untuk saya buat kajian lebih banyak lagi di samping persediaan lain," katanya.

Selain Hun, filem arahan Syafiq Yusof itu akan turut dibintangi Jiha Sham, Hafeez Mikail dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 6:00 AM