FARIS (kanan) yakin warna pingat bagi permainan MLBB mampu bertukar kepada emas di Sukan Sea Vietnam. FOTO Ihsan Al Ikhlas Gadget
FARIS (kanan) yakin warna pingat bagi permainan MLBB mampu bertukar kepada emas di Sukan Sea Vietnam. FOTO Ihsan Al Ikhlas Gadget
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemenang pingat gangsa Sukan Sea Manila 2019, Faris Zakaria yakin bahawa skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) mampu menghasilkan keputusan cemerlang di temasya yang sama di Hanoi Mei depan.

Faris atau terkenal dengan nama gelaran 'Soloz' berkata, warna pingat buat MLBB dalam saingan eSukan itu mungkin boleh bertukar dari gangsa kepada emas walaupun sedar bakal mendapat tentangan sengit dari Filipina dan Indonesia.

"Pencabar kita adalah Indonesia dan Filipina. Kedua-dua negara berkenaan memang kuasa besar MLBB," kata Faris yang tidak beraksi untuk temasya kali ini di Hanoi.

Ujarnya, Filipina mempunyai strategi berbeza begitu juga dengan Indonesia namun pemain negara disaran agar mencari jalan bagaimana untuk mengatasi perkara berkenaan.

"Kita tidak tahu strategi mereka kerana tidak pernah menunjukkan keputusan sebelum ini. Bagaimanapun, di Sukan Sea nanti pemain kita perlu mencari strategi terbaik untuk melakukan serangan balas.

"Saya yakin persiapan pasukan yang kini diurus Todak mampu membawa Malaysia untuk menjulang pingat emas di bumi Vietnam," katanya ketika merasmikan kafe e-Sukan Pitstop Homebois di Petaling Jaya hari ini.

Ketika kali pertama dipertandingkan di Filipina pada 2019, pasukan eSukan negara berjaya membawa pulang satu emas dan satu gangsa.

Emas diraih Yew Weng Kean bagi acara Hearthstone, manakala gangsa diraih Faris bersama Ahmad Ali Huzaifi Abdullah, Abdul Wandi Abdul Kadir, Jamil Nurolla, Izme Haqeem Hamsjid dan Muhammad Hazeem Onn.

Saingan eSukan di Hanoi akan berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional dari 13 hingga 22 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 6:00 PM