NAHAS helikopter TLDM yang mengorbankan 19 pegawai dan anggota.
NAHAS helikopter TLDM yang mengorbankan 19 pegawai dan anggota.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Laporan interim nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya, bulan lalu akan diterbitkan esok.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membuat kenyataan mengenai perkara berkenaan.

"Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Menteri Pertahanan sudah memberi maklum balas mengenai status laporan awal siasatan nahas helikopter (TLDM) di Lumut.

"Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa laporan akan diterbitkan esok dan ini adalah laporan awal," katanya pada sidang di sini, hari ini.

Malaysia sebelum ini dikejutkan dengan nahas udara yang meragut 10 nyawa apabila dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Tragedi menyayat hati itu nahas terburuk membabitkan helikopter terhempas di negara ini sejak sembilan tahun lalu dan yang kelapan berlaku dalam tempoh sama.

Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi itu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

Fahmi berkata, Menteri Pertahanan turut memaklumkan laporan penuh berhubung nahas itu akan siap dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang.

"Saya difahamkan, esok Menteri Pertahanan akan membuat kenyataan mengenai laporan awal siasatan nahas helikopter (TLDM) ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 4:18 PM