ANTARA pemilik kediaman di sesetengah kawasan di Selangor kecewa menerima notis cukai pintu yang naik mendadak.
ANTARA pemilik kediaman di sesetengah kawasan di Selangor kecewa menerima notis cukai pintu yang naik mendadak.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pemilik kediaman di sesetengah kawasan di Selangor kecewa apabila mereka mendakwa menerima notis cukai pintu yang naik mendadak sehingga 50 peratus pada saat akhir.

Penduduk hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an mendakwa, dia terkejut apabila menerima notis berkenaan daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pagi tadi.

"Saya amat terkejut menerima kenaikan mendadak lebih 50 peratus, kalau lima atau 10 peratus itu kita faham tapi ini macam menekan penduduk lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup tinggi ketika ini.

"Tahun sebelum ini, saya cuma bayar RM240 saja, tetapi kadar baharu itu dinaikkan kepada RM408," katanya.

Sementara itu, Helmi, 40-an pula berkata, penduduk tidak mempunyai masa mencukupi kerana tarikh akhir bantahan kadar baharu itu pada 10 Mei ini sedangkan notis pemberitahuan baru diterima hari ini.

"Kami lihat notis bantahan dikeluarkan 1 April lalu, tetapi kenapa baru hari ini kami dapat surat pemberitahuan ini sedangkan tarikh akhir bantahan pada Jumaat ini?

"Ini tidak adil kepada kami," katanya yang menetap di Bandar Tasik Puteri Rawang.

Dalam pada itu, Pengurus Bangunan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium Pandan Mewah Heights, Mazlina Idris berkata, notis bertarikh 13 April itu menyatakan penduduk perlu membayar kadar nilaian baharu sebelum 15 Mei ini.

Susulan itu, katanya, pihaknya akan membantu penduduk menghantar permohonan bantahan yang berakhir pada Jumaat ini kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membuat rayuan.

"Kita sudah adakan mesyuarat 28 April lalu bersama penduduk dan ahli majlis sebelum meminta penduduk mengisi borang bantahan untuk kita merayu kepada MPAJ supaya menilai semula kadar berkenaan yang dikatakan tidak pernah naik sejak 1997.

"Setakat ini kita berjaya mengumpul kira-kira 100 borang bantahan daripada 528 pemilik unit kediaman dan kita sasarkan sekurang-kurangnya jumlah itu akan mencapai separuh pada tarikh tutup Jumaat ini.

"Kemudian bantahan itu akan dihantar kepada MPAJ minggu depan," katanya.

Dalam pada itu, beberapa wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang dihubungi Harian Metro memaklumkan mereka akan memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara itu selepas ini.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, kerajaan Selangor menaikkan kadar cukai pintu dengan kadar mencecah hingga empat kali ganda berbanding nilai sedia ada.

Bekas Menteri Besar Selangor itu mendakwa, pemakluman kenaikan kadar cukai berkenaan dibuat menerusi notis dikeluarkan MPAJ bertarikh 18 April lalu.

Katanya, cukai berkenaan dinaikkan kepada RM429 setahun berbanding kadar sedia ada iaitu RM191.40.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 4:27 PM