AMAN RA sambut lebaran tanpa kehadiran ibu dan bapa. FOTO Arkib NSTP
AMAN RA sambut lebaran tanpa kehadiran ibu dan bapa. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


DI saat kita meraikan Aidilfitri di samping keluarga, masih ada lagi yang tidak melalui proses dan fasa sama seperti kita.

Bagi penyanyi rap, Aman Ra, 36, perjalanan kehidupannya tatkala membesar, dia tidak meraikan Aidilfitri seperti mana orang lain.

"Kalau bercerita mengenai rutin Aidilfitri, sejujurnya saya tak pernah meraikan Aidilfitri sepanjang saya membesar.

"Sebenarnya, saya banyak 'lari' daripada media sebab saya tak tahu nak kongsikan apa mengenai diri saya. Rasa segan pun ada sebab saya tak membesar meraikan Aidilfitri seperti orang lain.

"Bila dah semakin dewasa, saya cuba 'fit in' dengan kehidupan seperti orang lain dan ikut arus kehidupan," katanya.

Aman berkata, dia menjadikan bumi tempat dia berpijak kini sebagai kampung halamannya.

"Kedua-dua ibu bapa saya dah meninggal dunia. Arwah mak saya, seorang mualaf, meninggal dunia pada 2013, manakala arwah ayah pula meninggal dunia pada Disember 2021.

"Di mana saya berada, di situlah kampung saya. Jadi, kampung saya sekarang adalah di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Memang di sini jugalah saya akan meraikan Aidilfitri," katanya.

AMAN Ra sambut Aidilfitri tanpa orang tua, tidak rasai kemeriahan seperti insan lain sejak kecil. FOTO Arkib NSTP
AMAN Ra sambut Aidilfitri tanpa orang tua, tidak rasai kemeriahan seperti insan lain sejak kecil. FOTO Arkib NSTP

Katanya, kisah dan jalan cerita kehidupannya mungkin sama dengan individu lain sekali gus membuktikan bahawa mereka tidaklah terasing.

"Saya tahu, mungkin ramai orang melalui pengalaman seperti saya, cuma mungkin saya yang rasa segan sikit sebab bila kita tak nampak Melayu sangat, orang akan bercakap begitu dan begini.

"Tapi, perlahan-lahan, saya cuba kongsikan sedikit mengenai diri saya. Setidaknya, mungkin ada orang di luar sana yang ceritanya sama seperti saya akan rasa okay dan tak rasa mereka sendirian," katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai kehidupan masa silamnya, Aman kini perlahan-lahan belajar mengenai adab dan adat Melayu.

"Kalau bercakap mengenai baju Melayu, dulu saya selalu pakai baju cekak musang. Tapi, masalahnya saya selalu hilangkan butang. Jadi, sekarang saya lebih selesai memakai baju teluk belanga dan baju batik.

"Saya semakin belajar mengenai adab dan adat kita. Perlahan-lahan, saya belajar mengenai pakaian tradisi, sampin dan sebagainya.

"Baju Melayu dan butang contohnya, ada simboliknya tersendiri. Kita belajar mengenainya sedikit demi sedikit," katanya.

Terbaharu, Aman kini tampil menerusi lagu Ayuh yang menjadi OST untuk filem Polis Evo 3. Tidak bersendirian, Aman turut beraksi bersama Malique, Kmy Kmo dan Ernie Zakri dalam lagu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 6:16 AM