Keluarga Shafrizan Sharuddin dan Rubiah Mohd Kamaruzzaman bergambar bersama-sama ketika meraikan Aidilfitri di Klang, baru-baru ini. FOTO ihsan Shafrizan.
Keluarga Shafrizan Sharuddin dan Rubiah Mohd Kamaruzzaman bergambar bersama-sama ketika meraikan Aidilfitri di Klang, baru-baru ini. FOTO ihsan Shafrizan.
Mazizul Dani


TREND berbaju raya kurta, jubah dan baju kurung moden pelbagai rekaan serta gaya seakan-akan mendominasi fesyen raya ketika ini.

Namun bagi keluarga Shafrizan Sharuddin, 37, mereka memilih untuk berbusana tradisional Melayu lama lengkap bertanjak untuk mengekalkan pakaian itu yang kian dilupakan.

"Kurta atau jubah bukan tradisi kita. Jadi saya nak lihat semula pakaian ini diketengahkan dan cuba untuk ingatkan masyarakat Melayu, inilah sebenarnya identiti kita sejak dari dulu lagi.

"Jenis tanjak pun banyak maksudnya kerana orang dulu-dulu kalau nak tahu mengenai diri dia adalah mengikut pakaiannya. Jadi daripada itulah saya mula berminat untuk mengenakan pakaian ini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Shafrizan dan dua anak lelakinya, Ammar Firdaus, 9, dan Abbas Rafie, 3, segak berpakaian tradisional Melayu siap dengan baju layang pada bahagian luar, bengkung, sampin dan berseluar senteng pada 1 Syawal lalu.

Sementara isterinya, Rubiah Mohd Kamaruzzaman, 33, dan dua anak perempuan, Nur Ainul Mardhiyah, 11, serta Nur Alayna Faiha, 5, berpakaian baju kurung disuaipadankan dengan fabrik songket.

"Tak sempat saya bersalaman, keluarga yang lain dah minta untuk bergambar dengan kami. Orang kampung di masjid juga ada yang toleh dua tiga kali lihat kami berpakaian sebegini.

"Memang rasa bangga dan seronok jugalah sebab secara tidak langsung boleh meningkatkan keyakinan anak-anak bila orang yang tak dikenali minta untuk bergambar bersama," katanya yang berniaga pakaian kanak-kanak di Uptown Seksyen 24, Shah Alam sejak tujuh tahun lalu.

Mereka sekeluarga berpakaian tradisional itu sejak Aidilfitri tahun lalu dan kini menarik minat ahli keluarga lain, jiran dan rakan terdekat untuk turut sama mengenakan pakaian itu pada tahun hadapan.

Untuk tahun ini, Shafrizan berkata, dia menempah pakaian itu yang siap seminggu sebelum Aidilfitri dengan kos hampir RM1,000 keseluruhan termasuk pakaian anak-anak.

"Insya-Allah kami akan teruskan pada tahun-tahun akan datang dan bercadang untuk menyediakan busana Puteri Perak untuk anak perempuan pada Aidilfitri tahun hadapan.

"Saya tidak mahu pakaian ini dilupakan. Jangan sampai satu masa nanti orang akan tanya saya pakai pakaian apa," katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 12:26 PM