Lokasi penemuan mayat mangsa
Lokasi penemuan mayat mangsa
Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Allah makbulkan doa kami. Ayah pulang juga sebelum raya," kata Mohd Nor Hisyam Mohamad anak kepada Muhammad Ngah, 67, yang ditemui meninggal dunia selepas hilang sejak Sabtu lalu.

Nor Hisyam berkata, walaupun bapanya pulang dalam keadaan tidak bernyawa selepas ditemui meninggal dunia kira-kira jam 10.25 pagi tadi, namun keluarga bersyukur apabila Allah memakbulkan doa mereka.

Katanya, sejak hari pertama hilang, usaha mencari lelaki terbabit dilakukan tanpa mengira waktu oleh keluarga dan penduduk kampung selain berdoa dan melakukan solat hajat.

"Sejak hari pertama ayah hilang, kami sudah reda dengan apa yang dihadapi.

"Kami cuma mahu ayah ditemui walau dalam keadaan apa sekalipun.

"Setiap hari kami berdoa minta ayah pulang sebelum Aidilfitri. Alhamdulillah, syukur Allah makbulkan doa kami. Biarpun kepulangan ayah tidak bernyawa," katanya.

Sementara itu adik arwah, Mohd Azis Ngah, berkata, arwah Muhammad ditemui oleh orang awam di kawasan berhampiran tapak pembinaan ECRL Kampung Banggol Katong, di sini kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Baru Serada, di sini.

Menurut Azis, jasad abangnya ditemui terbaring di atas tanah di tepi motosikal roda tiga miliknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Azli Mohd Noor mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Katanya, mayat mangsa ditemui orang awam berhampiran kawasan tapak pembinaan ECRL di Kampung Banggol Katong, Serada, di sini.

"Menurut anak mangsa, bapanya keluar rumah lebih kurang jam 10 pagi, Sabtu lalu. Laporan kehilangan warga emas itu dibuat keluarga pada Ahad lalu.

"Mangsa yang bekerja sebagai peniaga ikan dikatakan mengalami masalah lupa dan menghidapi kencing manis serta masalah jantung.

"Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. Tiada kesan jenayah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 2:26 PM