PENYAKIT HS mula dikesan di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu membabitkan 30 kerbau. FOTO Arkib
PENYAKIT HS mula dikesan di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu membabitkan 30 kerbau. FOTO Arkib
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengeluarkan amaran bagi melarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS).

Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, tindakan berkenaan penting bagi memastikan penyakit itu yang menyebabkan kematian berskala besar tidak merebak ke seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan penternak yang ternakan mereka terdedah dengan penyakit HS supaya melakukan kuarantin terhadap ternakan mereka bagi memastikan ia tidak bergerak bebas, sekali gus mengelak dijangkiti penyakit berkenaan.

"Penyakit HS disebabkan bakteria Pasteurella multocida (p multocida) Carter's Type B yang biasanya menyerang lembu serta kerbau dan boleh menyebabkan kematian dalam jangka masa antara lapan hingga 24 jam selepas dijangkiti.

"Penyakit HS kerap menyerang ternakan pada musim hujan, bagaimanapun penyakit itu tidak menjangkiti manusia," katanya melalui kenyataan media dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyakit HS mula dikesan di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu membabitkan 30 kerbau.

Menurutnya, JPV Terengganu melakukan bedah siasat ke atas ternakan mati dan semua sampel dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan penyakit.

"Notis arahan kuarantin mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953 dikeluarkan dan diserahkan kepada penternak terbabit pada 13 September lalu dan pemberian ubat antibiotik pada ternakan bergejala sudah dilakukan.

"Kami sentiasa menasihatkan penternak mengenai kepentingan program pevaksinan penyakit HS bagi tujuan pencegahan penyakit itu yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada penternak apabila lembu dan kerbau mereka mati.

"Penyakit HS adalah penyakit bukan zoonotik (tidak berjangkit pada manusia) dan masyarakat dinasihatkan tidak panik memandangkan tiada risiko penyakit berkenaan kepada manusia.

"Kerjasama penternak amat diperlukan bagi melaporkan sebarang kes disyaki penyakit HS di mana-mana Pejabat Veterinar Negeri atau Pejabat Veterinar Daerah berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 4:32 PM