ESHAH (dua dari kanan) menerima jambangan bunga dariipada Hafshah di Kampung Banggol Kemang Serada.
ESHAH (dua dari kanan) menerima jambangan bunga dariipada Hafshah di Kampung Banggol Kemang Serada.

Kuala Terengganu: “Sementara ibu masih ada, memang menjadi tanggungjawab saya untuk menggembirakannya dan Hari Ibu yang disambut pada hari ini (semalam) adalah peluang terbaik untuk saya menunjukkan penghargaan kepadanya,” kata Hafshah Ibrahim, 49, ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada ibunya, Eshah Draman, 84, dari Kampung Banggol Kemang, Serada, di sini, semalam.

Menurutnya, selain menggembirakan ibu, penghargaan itu juga sebagai contoh dan teladan terbaik kepada anak dan cucunya mengenai kepentingan menghargai jasa seorang ibu.

“Saya yang juga sebagai ibu ingin dihargai, justeru perlu menunjukkan contoh terbaik kepada anak dan cucu supaya di usia tua saya nanti turut dihargai seperti mana saya menghargai nenek mereka.

“Di saat usia ibu yang semakin lanjut itu, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menjaga dan prihatin dengan perasaannya dan selepas kematian ayah (Ibrahim Abdullah) ketika berusia 60 tahun pada 2005, saya dan keluarga mengambil keputusan tinggal bersama emak,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 1:42 PM