Suraya Roslan


Shah Alam: Pengarah Eksekutif Kumpulan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah, dua minggu lalu.

  Chai, 57, dan Loh, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

  Mengikut semua pertuduhan, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd berniat dengan sengaja melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan yang dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

  Semua tertuduh didakwa pada hari yang sama turut bersubahat melakukan kesalahan itu di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan mereka.

  Kesalahan didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

  Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  Peguam Datuk Rajpal Singh mewakili Chau memohon anak guamnya diikat jamin dan mencadangkan jaminan RM5,000 yang disifatkannya mencukupi untuk memastikan anak guamnya hadir ke mahkamah.

"Anak guam saya adalah ketua dalam syarikat itu dan dia mempunyai 5,000 kakitangan dengan 810 cawangan di seluruh negara juga di Nepal, India dan Brunei.

   "Beliau aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan dan seorang dermawan.

   "Saya percaya tiada sebab untuk beliau melarikan diri," katanya.

  Dua minggu lalu, sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah Allah dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

  Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan menitahkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

   Isnin lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap isu penjualan stoking berkenaan.

  PDRM turut menerima 30 laporan mengenai ketidakpuasan hati terhadap hantaran melalui Facebook mengenai isu sama.

Berita lanjut menyusul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 10:50 AM